Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon agar warga Johor bersatu hati bersama beliau dalam membangunkan negeri itu setelah menerima perlantikan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata demikian menerusi satu hantaran di Twitternya selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada Selasa.
”Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Bangsa Johor. Segala puji bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam yang menentukan segala-galanya.
“Kepada Bangsa Johor yang disayangi, InsyaAllah, segala janji yang dibuat oleh Barisan Nasional akan saya usaha untuk ditunaikan dengan sebaik mungkin.
“Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya – bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini,” tulis Onn Hafiz dalam hantaran di laman Twitter sebentar tadi.
Beliau turut memohon doa agar langkah yang diatur untuk kesejahteraan negeri Johor mencapai matlamat dan bertekad bakal melaksanakan tugas beliau sebagai Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab.
“Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan Negeri ini dan setiap dari rakyatnya.
“Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua.
“Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” ujar Onn Hafiz.
Sebelumnya, Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor dalam watikah perlantikan yang diperkenankan oleh Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Selasa.
Pada PRN Johor ke-15, Onn Hafiz, 44, memenangi pertandingan empat penjuru menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543.
Beliau yang merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO Allahyarham Datuk Onn Jaafar, pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan pada 6 Mac 2020 sehingga DUN dibubarkan pada 22 Jan lepas.
Memiiki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada University of Hertfordshire, United Kingdom, beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 2013 hingga 2018.
Onn Hafiz dilantik meskipun sebelum ini BN mencadangkan bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad sebagai calon bagi mengisi jawatan itu jika BN memenangi PRN Johor.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera dan Salam Bangsa Johor.
Segala puji bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam yang menentukan segala-galanya. pic.twitter.com/2fhg40NtmJ
— Onn Hafiz Ghazi (@onnhafiz) March 15, 2022
Sumber: Twitter Onn Hafiz Ghazi