Siakap Keli
bahasa di alam kubur
Kredit: BERNAMA

Bahasa Apa Akan Digunakan Malaikat Untuk Bertanya Di Alam Kubur? Ini Jawapan Dr Zulkifli

Agama islam telah pun tersebar luas ke serata dunia tanpa mengira bangsa, warna kulit mahupun bahasa yang digunakan. Bagi masyarakat Islam, bahasa Arab mempunyai tempat yang istimewa kerana kedudukannya sebagai bahasa al-Quran.

Timbul persoalan berkaitan bahasa yang akan digunakan ketika seseorang muslim ditanya oleh malaikat ketika di dalam kubur. Adakah hanya bahasa arab yang digunakan semasa soal jawab tersebut? Bagaimana pula jika seseorang itu tidak boleh berbahasa Arab?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi artikel soal jawab agama, di saluran portalnya, Maktabah Al-Bakri tampil menjawab persoalan tersebut.

Soalan

Apakah bahasa yang ditanya oleh malaikat kepada si mati dalam kubur?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Al-Mubarakfuri dan al-Munawi berkata: Sesungguhnya Munkar dan Nakir merupakan malaikat yang menyoal hamba-hamba apabila mereka keluar daripada dunia (sesudah mati). Sebab dinamakannya kerana dia mengingkari hamba yang ditanya kedua-duanya dalam bentuk tidak mengenalinya serta tidak melihatnya sebelum itu seperti bentuknya.[1]

Terdapat hadith berkenaan dengan soalan di dalam kubur oleh malaikat yang diriwayatkan daripada al-Barra bin ‘Azib RA, katanya: :

Kami keluar bersama Nabi SAW menghantar mayat seorang lelaki daripada Ansar. Maka kami tiba di tanah perkuburan.(dan pada masa itu) kubur sedang digali liang lahadnya. Kemudian Rasulullah duduk, dan kami duduk di sekelilingnya. (suasana sangat tenang) seolah-olah ada burung di atas kepala kami. Dan di tangan baginda terdapat sebatang kayu yang dipukulnya ke tanah. Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan berkata:

اِسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِن عَذَابِ القَبرِ مرَّتينِ، أو ثلاثًا، زادَ في حديثِ جريرٍ هاهنا وقالَ: وإنَّهُ ليسمَعُ خفقَ نعالِهم إذا ولَّوا مُدبرِينَ حِينَ يُقَالُ لَهُ: يَا هَذَا، مَن ربُّكَ وَمَا دِينُكَ وَمَن نَبيُّكَ؟…

Maksudnya: Mohonlah perlindungan daripada Allah daripada azab kubur (baginda mengucapkan sebanyak dua kali ataupun tiga kali). Sesungguhnya dia apabila mendengar tapak selipar meninggalkan kuburnya, maka dikatakan kepadanya: wahai kamu, siapa tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa Nabi kamu?…[2]

Bahasa Yang Ditanya Oleh Malaikat Kepada Si Mati Dalam Kubur

Masalah ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama, sebahagian daripada mereka menyebut bahasa yang digunakan adalah bahasa Suryani[3], tetapi tiada nas qat’ie yang menyatakan sedemikian.

Kami faham bahawa malaikat akan bertanya kepada si mati dengan bahasa yang difahaminya. Sekiranya dia seorang lelaki yang soleh, maka jawapannya akan mudah. Jika dia seoranga kafir atau derhaka dlm hidupnya, ia akan jadi sukar dan payah untuk dijawab. Kami berpendapat bahawa si mati akan ditanya di dalam bahasa arab berdasarkan umum hadith Nabi SAW, akan tetapi kami bersetuju dengan pandangan Syeikh Ahmad al-Syarbasi di dalam kitabnya  Yas alunaka fi al-Din wa al-Hayah: “Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat sebenar yang berlaku di sana”. [4]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa si mati akan ditanya di dalam bahasa arab berdasarkan umum hadith Nabi SAW, namun begitu, Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat sebenar  dan bahasa yang dituturkan dan setiap apa yang  berlaku di sana.

Setiap perkara yang terjadi selepas daripada kematian merupakan perkara ghaibiat yang tidak akan kita ketahui melainkan terdapat dalil daripada al-Quran dan Sunnah yang menceritakannya. Tidak ada yang mengetahui hal ghaib melainkan Allah SWT sahaja sebagaimana firman-Nya:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ ‎

Maksudnya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).[5]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Akhmar Ikmal