Siakap Keli

Dolar Amerika Tercabar? Jual Minyak Ke China, Arab Saudi Dilapor Sedia Terima Matawang Yuan

Arab Saudi dilapor sedang berunding dengan China melibatkan urusan penjualan minyak ke negara itu dan bersedia menerima bayaran menggunakan matawang Yuan, berbanding amalan biasa yang menggunakan matawang Dolar Amerika Syarikat (AS).

Arab Saudi merupakan negara pengeksport minyak utama dunia, manakala China adalah negara pengimport utama minyak dunia.

Sekiranya benar dan menjadi kenyataan, keputusan ini dilapor bakal memberi kesan kepada mata wang Dolar AS yang dominan dalam pasaran petroleum global.

Memetik laporan Market Business, kira-kira 80 peratus daripada jualan minyak global menggunakan transaksi matawang Dolar AS. Malah, sejak 1974 lagi Arab Saudi menjalankan urus niaga secara eksklusif dalam bentuk Dolar AS.

Jika perjanjian Arab Saudi dan China berjalan lancar, ia dijangka akan memacu pengukuhan nilai matawang Yuan diperingkat global, seperti yang pernah dilihat dalam matawang Dolar AS, sekaligus memberi isyarat yang baik kepada Beijing yang ketika ini cuba menyaingi penguasaan Amerika Syarikat ke atas ekonomi dunia.

Kemungkinan untuk perjanjian ini berhasil adalah tinggi. Apatah lagi, Arab Saudi dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Presiden AS, Joe Biden melibatkan Perang Yaman dan keputusannya untuk mengkaji semula perjanjian nuklear Iran.

Malah, Biden dalam tempoh-tempoh awal beliau menjawat jawatan Presiden pernah berkata, bahawa beliau tidak pernah menganggap Arab Saudi sebagai sekutu, sebaliknya hanya sebagai rakan.

Terkini, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salam dilaporkan menolak permintaan daripada Biden untuk berbincang berkenaan konflik Rusia-Ukraine selain peluang untuk meningkatkan pengeluaran minyak selepas Barat mengenakan sekatan ke atas Rusia, pembekal minyak dan gas asli utama Eropah.

Sementara itu, China hanya bergantung pada Arab Saudi sebagai pembekal minyak mentah utamanya pada tahun lepas. Hubungan ekonomi Arab Saudi dan Amerika Syarikat dilihat semakin renggang kerana kebergantungan AS terhadap minyak Arab Saudi semakin berkurang selepas pengeluaran minyak domestik negara Uncle Sam itu dilapor semakin bertambah.

Sumber: Business Insider

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang