Siakap Keli
Tangmo Nida
Gambar: Google & YouTube

Polis Dedah Rakaman CCTV Individu Berdiri Di Belakang Bot Laju, Dakwa Peroleh ‘Bukti Baharu’

Pihak polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seseorang berdiri dan duduk di belakang bot laju sebelum pelakon televisyen Thailand, Pattarathida “Tangmo” Patcharaveerapong atau Tangmo Nida terjatuh ke Sungai Chao Phraya.

Menurut Bangkok Post, polis walaubagaimanapun tidak menyatakan sama sekali bahawa individu yang terlihat dalam rakaman tersebut adalah Tangmo.

Pesuruhjaya Polis Wilayah 1, Jirapat Phumichit dalam kenyataan pada Ahad berkata, pasukan penyiasat telah memperoleh ‘bukti baharu’ daripada video CCTV berkenaan yang diambil dari bangunan di tepi tersebut.

Menurut Phumichit, rakaman itu menunjukkan seseorang sedang berdiri dan duduk di belakang bot sebelum Tangmo Nida terjatuh pada 24 Februari lalu, pada jam 10.34 malam.

“Bukti ini sangat berguna kerana ia akan membantu pasukan penyiasat untuk mengetahui lebih jelas tentang kes ini,” ujar Phumichit.

Tambahnya, pihak polis akan merujuk rakaman berkenaan kepada pakar dalam bidang penerbitan bagi memperjelaskan kualiti video dan memeriksa koordinat GPS bot.

Bedah siasat kedua Tangmo akan dilakukan

Pengarah Institut Sains Forensik di Kementerian Kehakiman, Songsak Raksaksakul berkata, pihaknya akan menubuhkan panel dan menjemput doktor dari institut lain bagi melakukan bedah siasat kedua ke atas Tangmo, seperti yang diminta oleh ibu mendiang.

“Mayatnya akan disimpan di Hospital Universiti Thammasat, dan pemeriksaan semula dijangka selesai dalam tempoh tidak kurang daripada 30 hari,” jelas Raksaksakul.

Jasad mendiang Tangmo sepatutnya telah dibakar, namun ibu selebriti tersebut telah menghubungi pihak penyiasat Sabtu lalu untuk memindahkan mayat anaknya ke institut untuk pemeriksaan semula.

Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI), Trairit Temahiwong memaklumkan, pihaknya akan menyiasat kes kematian Tangmo sekiranya mendapat permintaan dari keluarga mendiang.

Sementara itu, bekas pengarah Institut Pusat Sains Forensik, Dr Pornthip Rojanasunant melalui laman Facebook berkata, keluarga Tangmo mungkin mempunyai peluang yang jarang diperoleh, iaitu mendapat akses dari hasil bedah siasat.

Menurutnya memetik laporan Bangkok Post, orang awam sering salah sangka bahawa hanya pihak polis boleh mengakses laporan dari bedah siasat.

Jelas Rojanasunant, doktor forensik mempunyai kewajipan untuk mendedahkan kebenaran jika mengikut undang-undang. Tetapi memandangkan bedah siasat di Thailand telah digabungkan dalam siasatan polis, proses itu mungkin tidak telus seperti yang sepatutnya.

Sumber: Bangkok Post

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.