Siakap Keli
peraturan paling aneh di dunia
Gambar sekadar hiasan - Google

Tidak Dibenarkan Mengumpat, Ini 7 Negara Dengan Peraturan Paling Aneh Di Dunia

Setiap negara mempunyai peraturannya tersendiri sama ada secara bertulis mahupun tidak bertulis. Sesetengah orang mungkin merasakan bahawa terdapat beberapa peraturan yang paling aneh di dunia dan tak boleh diterima akal.

Namun hakikatnya, setiap peraturan yang ditetapkan di sesebuah negara telah pun dikaji dengan teliti dan bertujuan untuk membina sebuah negara yang lebih baik.

Sesetengah peraturan aneh atau pelik ini dibuat untuk mengelakkan sesuatu fenomena atau kejadian buruk berlaku dalam kalangan masyarakatnya. Dipetik dari Insider, berikut adalah tujuh peraturan paling aneh di dunia.

1. Tidak dibenarkan mengumpat – UAE

Jika anda berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE), anda harus tahu satu peraturan di mana kebiasaan mengumpat adalah tidak dibenarkan.

Sekiranya anda melakukannya, anda tidak akan teragak-agak untuk dikenakan hukuman berdasarkan undang-undang yang ditetapkan seperti hukuman penjara.

UAE telah mengenakan larangan terhadap penyebaran maklumat yang mengelirukan, bertujuan bagi mengawal selia media domestik mereka agar tidak menimbulkan kekacauan yang serius di negara itu.

2. Tidak boleh memakan gula-gula getah – Singapura

Sebagai sebuah negara maju di Asia Tenggara, nampaknya negara kecil ini telah membuat satu peraturan iaitu rakyatnya tidak dibenarkan memakan gula-gula getah.

Hal ini kerana mengunyah gula-gula getah boleh menyebabkan berlakunya kotoran di beberapa kawasan bandar. Kerajaan Singapura amat mengambil berat berkaitan kebersihan di setiap pelusuk kota negara mereka sehingga tiada ruang untuk membenarkan rakyatnya membuat kotor.

3. Memberikan nama bayi sesuka hati- Denmark

Tahukah anda, kerajaan Denmark telah mengeluarkan sejumlah 7,000 nama untuk rakyatnya. Mereka boleh memilih mana-mana nama cadangan itu sejak bayi dilahirkan dan terus memberi nama bayi tersebut.

Jika mereka mempunyai nama unik mereka sendiri selain daripada 7,000 nama yang disebutkan di atas, mereka mestilah memohon kelulusan daripada majlis perbandaran masing-masing terlebih dahulu.

4. Dilarang kehabisan minyak – Jerman

Kehabisan minyak ketika berada di atas jalan? Jangan sesekali anda biarkan perkara ini berlaku ketika berada di Jerman. Sekiranya terjadi, maka anda akan dikenakan denda kerana mengganggu aktiviti orang ramai di sana.

5. Tidak boleh memaksa orang lain untuk mabuk – Australia

Meskipun Australia terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai banyak pengaruh Barat, namun rakyatnya sangat mementingkan kesopanan dan maruah semua manusia.

Jika anda didapati memaksa orang lain untuk mabuk dengan cara minum arak, maka anda perlulah bersedia untuk dihukum dengan hukuman yang berat atas perbuatan tersebut.

6. Tidak menjaga ayam peliharaan – Georgia

Di Malaysia, fenomena ayam peliharaan seseorang yang singgah dan berak di rumah jirannya adalah satu perkara biasa. Meskipun ia menyakitkan hati, anda sekadar boleh menasihatkan jiran sahaja.

Berlainan dengan peraturan di Georgia, sekiranya ayam peliharaan seseorang singgah dan membuang najis di rumah orang lain, maka pemilik ayam perlu membayar denda yang agak mahal kerana mengabaikan ayam jagaannya.

Undang-undang ini sememangnya bertujuan memberikan kesedaran kepada pemilik ayam dan teknik penjagaan seseorang ketika menjaga haiwan peliharaan masing-masing.

7. Dilarang membuat bising – Kanada

Bandar Petrolia di Kanada mempunyai peraturan tersendiri untuk penduduknya iaitu dengan mengehadkan tahap bunyi bising yang berlebihan. Peraturan ini menyatakan bahawa tidak ada bunyi jeritan, siulan atau nyanyian pada bila-bila masa.

Itulah tujuh peraturan paling aneh di dunia yang dikuatkuasakan di beberapa negara. Fuhh, cuba bayangkan jika peraturan ini dibuat di Malaysia! Mesti ramai yang akan kena denda kan?

Sumber: Indozone

Akhmar Ikmal