Wanita Inggeris berusia 25 tahun ini hanya makan nugget dan kerepek kentang goreng sahaja selama 22 tahun dia hidup.
Menurut Indo Zone, bagaimanapun wanita tersebut, Summmer Monro, langsung tidak menyentuh buah-buahan dan sayur-sayuran sepanjang tempoh tersebut.
Difahamkan, dia disahkan menghidapi avoidant restrictive food intake disorder (ARFID), iaitu sejenis gangguan yang membuatkan seseorang itu menghadkan jumlah atau jenis makanan yang diambil.
“Saya tidak pasti bila kali terakhir saya makan buah-buahan dan sayur-sayuran,” katanya kepada New York Post, lapor Indo Zone.
Jelasnya, kali terakhir dia makan buah-buahan dan sayur-sayuran adalah ketika usianya sekitar tiga tahun.
Gangguan yang dialami membuatkannya fobia teruk sehingga pernah sanggup menolak tawaran hadiah berjumlah RM5,000 daripada datuknya hanya untuk makan sebiji kacang.
“Saya sangat suka bau-bau makanan tapi bila saya mencuba makanan tersebut, ia buatkan saya rasa sakit,” katanya.
Hanya survive makan nugget & kentang
Mengeksplorasi artikel Indo Zone lagi, Monro mengatakan bahawa dia akan menghabiskan sebekas kerepek kentang sebagai makan tengahari dan tidak sarapan pagi.
Pada waktu malam pula, dia akan makan enam hingga lapan ketul nugget ayam dengan kentang goreng.
Menariknya, keadaan Monro sangat baik walaupun tidak pernah mengamalkan sebarang makanan tambahan atau vitamin.
Monro percaya penyakitnya itu adalah disebabkan dia pernah dipaksa untuk makan kentang lenyek pada usianya tiga tahun.
Sebagai langkah untuk merawat masalahnya itu, dia telah menjalani terapi dan hipnoterapi, tapi hasilnya masih sama.
Difahamkan, dia tinggal di Cambridge bersama pasangannya, Dean McKnight. Kedua-dua mereka perlu menyediakan makanan secara berasingan.
Walaupun mendapat sokongan daripada pasangannya, dia tetap berharap agar dapat menikmati lebih banyak makan yang sedap dan menarik.
“Saya bosan dan tiada semangat untuk makan,” jelasnya, lapor Indo Zone.
Apa itu ARFID?
Merujuk Med Malay, ARFID atau terjemahannya gangguan pengambil makanan yang mengelak merupakan sejenis gangguan makan yang membuatkan seseorang itu menghadkan jumlah atau jenis makanan yang dimakan.
Difahamkan, seseorang yang menghidapi ARFID tidak akan menghadkan diet mereka disebabkan mahu mengubah rupa bentuk atau berat badan.
Sebaliknya mereka dipercayai mungkin menghadkan diet atas beberapa sebab lain, antaranya termasuklah kurang minat untuk makan, takut akan akibat yang tidak menyenangkan seperti tercekik atau muntah serta sensitiviti deria.
“Tidak seperti pemilihan makanan’ yang biasa pada kanak-kanak, ARFID secara amnya tidak hilang dengan sendirinya apabila seseorang itu semakin tua. Ia adalah keadaan kesihatan mental yang memerlukan rawatan.
“ARFID boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental seseorang secara serius. Gangguan makan boleh membawa kepada komplikasi perubatan seperti penurunan berat badan dan kelewatan dalam pertumbuhan dan perkembangan.
“Penghidap ARFID juga mungkin mengalami akibat kekurangan zat makanan seperti degupan jantung yang perlahan, kehilangan haid, dan ketidakseimbangan elektrolit,” memetik kenyataan portal Med Malay.
Sumber: Indo Zone, New York Post, Med Malay