TAWAU – Rakaman insiden kebakaran melibatkan lebih 700 buah rumah atas air di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, menjadi tular di media sosial hari ini.
Menerusi video yang dikongsikan oleh warganet, dapat dilihat keadaan api yang marak menjilat rumah penduduk yang terlibat disertai kepulan asap tebal yang meliputi kawasan berkenaan.
Rata-rata penduduk cuba menyelamatkan harta dan barangan berharga masing-masing dengan memindahkan di kawasan yang selamat.
”Empat tahun tinggal kami tingal di sini, membesar di sini. Banyak kenangan manis dan pahit di sini, Kampung Kurnia Jaya Tawau, Batu 4 Jalan Apas.
”Akhirnya pada hari ini Khamis, 17 Mac 2022, Allah uji dalam sekelip mata semua musnah, semua tingal kenangan. Semoga semua ada hikmah di sebaliknya,” tulis seorang penduduk.
Kebakaran berjaya dikawal, tiada laporan kemalangan jiwa
Sebelum itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen memetik Bernama berkata, kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan dipercayai bermula kira-kira jam 4.40 petang tadi.
Pihaknya yang menerima panggilan kecemasan lima minit selepas itu, bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman dengan membawa lebih 40 pegawai dan anggota balai.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 9 malam namun setakat berita ini ditulis, pihak bomba masih melakukan kerja-kerja pemadaman api di kawasan kebakaran.
“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam siasatan,” katanya.
Memetik laporan RTM Sabah, operasi berkenaan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sementara itu, bantuan segera kepada mangsa telah dilancarkan oleh Pesuruhjaya RELA (PjR) Kehormat, Tan Sri Datuk Liew Yun Fah yang berupa keperluan makanan dan minuman.
Sebanyak 100 kotak air minuman, 50 kotak biskut dan 400 bungkus nasi serta lauk telah diedarkan kepada mangsa-mangsa kebakaran Batu 4. Para mangsa dikatakan keluar sehelai sepinggang setelah api merebak di tempat tinggal mereka.
Melalui kemaskini di laman Facebook, Liew turut berharap agar badan-badan bukan kerajaan atau syarikat swasta juga tampil memberi bantuan untuk meringankan beban mangsa yang terkesan.
https://www.facebook.com/beautyspellsofficial/posts/3245781075707401
https://www.facebook.com/PJS.Tawau/posts/831523761579882
https://www.facebook.com/jafar.darma/posts/5005730519473654
https://www.facebook.com/watch/?ref=saved&v=709454596882931