PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan kenyataan media tular mendakwa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz letak jawatan sebagai Menteri Kewangan Malaysia.
Menerusi kenyataan di laman Twitter rasmi, MOF berkata Tengku Zafrul kekal fokus untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela dalam pemulihan ekonomi negara dari belenggu COVID-19.
Kenyataan palsu bertarikh 16 Mac 2022 itu dibuat seolah-olah Tengku Zafrul dengan hati terbuka melepaskan portfolio beliau sebagai Menteri Kewangan berkuatkuasa 17 Mac.
Spekulasi bahawa Tengku Zafrul letak jawatan ini dikatakan muncul selepas kelibat Menteri berkenaan tidak kelihatan di Parlimen ketika pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2021 (2022).
Menurut Tengku Zafrul melalui kenyataan di laman Facebook, pembentangan tersebut dikemukakan di Parlimen oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.
“Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lepas pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan,” kata Tengku Zafrul.
Menjawab persoalan tentang ketidakhadiran beliau pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) semalam, Tengku Zafrul berkata ia adalah disebabkan urusan yang tak dapat dielakkan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa ada sedikit kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pada pagi ini (semalam) dan perkara ini telah pun dimaklumkan semalam (Rabu).
“Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan,” ujar beliau.
Tambah Tengku Zafrul, hanya Menteri sahaja yang boleh memberikan jawapan semasa sesi MQT. Oleh itu, Menteri Agama telah mewakili beliau yang tidak dapat hadir untuk membacakan jawapan.
“Mengikut SOP (prosedur operasi standard) MQT, hanya Menteri sahaja yang boleh memberikan jawapan dan ini bukan pertama kali seorang Menteri diminta untuk membacakan jawapan Menteri lain,” jelas Tengku Zafrul.
Kementerian Kewangan ingin menafikan surat perletakan jawatan YB Menteri Kewangan yang tular.
Fokus beliau kekal untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan #KeluargaMalaysia sentiasa terbela dalam pemulihan ekonomi negara dari belenggu COVID-19. pic.twitter.com/iPXMShbWD4
— Ministry of Finance🇲🇾 (@MOFmalaysia) March 18, 2022
Sumber: Kementerian Kewangan