Siakap Keli
kwsp jejaskan pinjaman bank
Gambar Hiasan via Google

Pengeluaran KWSP Boleh Jejaskan Skor Kredit Dan ‘Loan’? Ini Jawapan RHB

Kuala Lumpur – RHB Bank Berhad memaklumkan bahawa pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan memberi kesan atau jejaskan skor kredit dan kelulusan permohonan pinjaman bank untuk pemegang akaun mereka.

Menerusi kenyataan balas di Twitter rasmi, RHB menjawab mengenai kebimbangan pengguna yang mendakwa pengeluaran KWSP boleh menjejaskan reputasi pemegang akaun yang ingin melakukan urusan dengan pihak bank.

”Berhubung perkara ini, sukacita dimaklumkan bahawa pengeluaran KWSP, termasuk pengeluaran khas, tidak jejaskan skor kredit pelanggan dan kelulusan pinjaman oleh pihak bank,” kata RHB.

Tambah RHB, kelulusan permohonan pinjaman adalah tertakluk kepada keputusan pihak bank selepas melihat penilaian kredit akhir pemohon.

Terdahulu, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat.

Tetapi, pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

Namun, pencarum dikatakan wajar mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada mana-mana agensi berkaitan, sebelum membuat pengeluaran KWSP ini.

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata ini penting, bagi memastikan golongan itu membuat keputusan sewajarnya.

“Keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 menunjukkan tanda prihatin terhadap isu yang melanda rakyat, terutama melibatkan pencarum KWSP.

“Walaupun ekonomi semakin pulih, ada beberapa kumpulan masyarakat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19, termasuk musibah banjir baru-baru ini.

“Namun, kerajaan perlu memastikan ada ruang dan peluang untuk pencarum mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan kewangan secara berterusan, sebagai contoh melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

”Ini bagi memastikan pengeluaran secara optimum dan tidak disalahgunakan,” katanya memetik Bernama.

Berdasarkan kemas kini terbaharu dari KWSP, pengeluaran khas tersebut adalah terbuka kepada semua ahli KWSP berumur kurang dari 55 tahun.

“Permohonan boleh dibuat mulai 1 April hingga 30 April 2022 secara atas talian. Manakala pembayaran akan dikreditkan bermula 20 April 2022.

“Amaun pengeluaran minimum untuk pengeluaran khas ini adalah sebanyak RM50 sehingga RM10,000,” katanya.

Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran pencarum adalah tertakluk kepada baki simpanan Akaun Dua.

Namun, sekiranya baki Akaun Dua tidak mencukupi, simpanan dari Akaun Satu pencarum akan diakses oleh pihak KWSP.

Tambah KWSP, maklumat terkini berkaitan permohonan pengeluaran khas ini akan dimaklumkan oleh pihak KWSP dari semasa ke semasa.

Sumber: RHB Group

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.