Siakap Keli
zii jia kalah all england
Gambar via Facebook

Lee Zii Jia Gagal Mara Ke Pusingan Akhir All England

BIRMINGHAM – Pemain badminton perseorangan, Lee Zii Jia gagal mara ke pusingan akhir All England 2022, setelah kalah dalam perlawanan separuh akhir bertemu jaguh badminton India, Lakshya Sen.

Zii Jia tewas dengan mata 13-21, 21-12 dan 19-21 dalam kelayakan ke pusingan akhir yang berlangsung pada hari keempat saingan All England 2022.

Kedua-dua pemain memulakan saingan dengan baik dan Sen menyumbang mata pertama dalam perlawanan kelayakan menentang jaguh badminton Malaysia itu.

Pun begitu, Zii Jia ketinggalan jauh pada set pertama dengan perbezaan tujuh mata di belakang Sen yang merupakan pemegang pingat gangsa Kejohanan Dunia.

Pada set kedua, Zii Jia menunjukkan aksi cemerlang apabila berjaya mengalahkan Sen dengan catatan mata 21 berbalas 12 dan memberi harapan bakal melayakkan diri ke pusingan akhir.

Manakala di pusingan penentuan, Zii Jia mula mengatur rentak di pertengahan set ketiga apabila kesalahan demi kesalahan dilakukan oleh pemain dari India itu.

Namun serangan Zii Jia sekali lagi dipatahkan Sen dan terpaksa berpuas hati dengan mata akhir 19-21 dalam perlawanan menegangkan yang berlangsung selama 76 minit.

Zii Jia gagal ke pusingan akhir All England 2022

Kalah dengan jaguh badminton India, Zii Jia dengan ini gagal melayakkan diri ke pusingan akhir All England 2022.

Sebelumnya, Zii Jia mara ke separuh akhir setelah menumpaskan pilihan kedua, Kento Momota dari Jepun dalam saingan suku akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham.

Dalam perlawanan suku akhir perseorangan lelaki pada Jumaat (awal pagi Sabtu di Malaysia), Zii Jia mencatat kemenangan 21-7, 13-21, 21-11 ke atas juara dunia dua kali dan pemain nombor dua dunia itu.

Pada saingan separuh akhir sebentar tadi, Zii Jia berentap dengan pemain perseorangan India, Sen yang meraih tempat setelah mendapat kemenangan mudah apabila pemain China, Lu Guang Zu menarik diri akibat kecederaan.

Walaupun tidak berjaya mara ke pusingan akhir, Zii Jia pernah menyandang gelaran juara di gelanggang All England 2021 setelah menewaskan Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.

Zii Jia sempat menjadi sorotan dunia apabila mengalahkan Momota pada perlawanan suku akhir tahun lalu dan sekali lagi bertemu jaguh badminton Jepun itu pada pusingan sama di All England 2022.

Sumber: BWFScore, Indian Express

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.