Siakap Keli
siram tanaman plastik
Kredit: The Mirror

Tiga Tahun Siram Sukulen Di Rumah, Baru Sedar Rupanya Kena ‘Scam’

Seorang wanita dari Chinamenyiram sukulen miliknya pada setiap hari selama hampir tiga tahun, sebelum menyedari tanaman itu diperbuat daripada plastik.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Liu berkongsi gambar sukulen berkenaan di media sosial, dengan mengakui bahawa dia merasa bodoh selepas menyedari kesilapannya.

Menurut Liu, dia membeli sukulen itu secara dalam talian dan menjaga tumbuhan tersebut seperti seorang ‘bayi’.

Bagaimanapun, ketika dia berkongsi gambar tanaman itu dalam talian, dia menyedari bahawa dia tidak boleh menggerakkan daun tanaman itu menggunakan tangannya.

Tidak lama kemudian, dia baru mengetahui bahawa sukulen tersebut sebenarnya diperbuat daripada plastik.

Malah, jelas Liu, tumbuhan itu turut mempunyai urat berwarna biru yang berubah warna selama bertahun-tahun, menyebabkan dia percaya bahawa tanaman itu sedang tumbuh dengan baik.

Dia terus menyiram tumbuhan itu pada tahun-tahun berikutnya dan percaya bahawa sukulen itu akan tumbuh dengan cantik dan sihat.

Kredit: The Mirror

Kejadian hampir serupa turut terjadi pada tahun lalu, di mana Caelie Wilkes sedang menyiram sukulen yang berada di rumahnya seperti biasa selama lebih dua tahun.

Wanita itu dikatakan mempunyai jadual penyiraman yang ketat untuk sukulen tersebut dan merasan kecewa apabila menyedari bahawa tumbuhannya itu bukanlah tanaman sebenar.

“Saya hanya mahu menjaganya dengan baik. Saya benar-benar menyukai sukulen saya,” kata Caelie.

Perkara sebenar terbongkar selepas dia menemui pasu comel yang sesuai untuk memindahkan sukulen itu.

Namun, ketika dia mula mengeluarkan tumbuhan itu dari bekas plastik asalnya, dia melihat bahawa ia dilekatkan pada blok getah dan dihiasi dengan pasir yang dilekatkan di atasnya.

“Saya mencuba sedaya upaya saya untuk memastikan ia kelihatan terbaik, namun akhirnya ia hanyalah plastik,” katanya.

Kisahnya telah dikongsi di satu halaman Facebook kumpulan tumbuhan dalaman Australia, di mana terdapat juga beberapa orang lain yang mengakui bahawa mereka juga melakukan kesilapan yang sama.

“Rakan saya di tempat kerja selalu membiarkan tumbuhannya mati kerana dia tidak menyiramnya, jadi saya meletakkan tumbuhan palsu di kafe.

”Dia menyiramnya selama sebulan sebelum saya memberitahunya ia palsu,” kata salah seorang individu.

“Ayah saya menyiram salah satu tanaman ibu saya selama setahun selepas dia meninggal dunia tanpa menyedari ia adalah palsu,” kata seorang lagi pengguna Facebook di halaman tersebut.

Sumber: The Mirror

Akhmar Ikmal