Saudi Media disahkan telah menyertai bidaan untuk membeli Chelsea dengan membuat tawaran kepada bank pelaburan New York Raine Group sejam sebelum tarikh akhir, lapor Goal.
Konsortium swasta yang diketuai oleh ahli perniagaan, Mohamed Alkhereiji itu percaya bahawa tawaran mereka kompetitif, termasuk rancangan untuk membentuk semula Stamford Bridge dan memperbaharui kontrak pemain utama.
“Pembidaan Saudi Media telah disahkan kepada saya selepas keraguan mengenainya muncul. Tawaran itu digambarkan sebagai ‘berdaya saing’ dan ada harapan ia akan disenarai pendek,” kata Nizaar Kinsella dari Goal.
Keputusan rasmi dibuat pada Isnin
Difahamkan, Kumpulan Raine kini dalam proses untuk memutuskan tawaran yang akan disenarai pendek dan keputusan rasmi dijangka akan dibuat pada Isnin.
Dalam pada itu, semua konsortium lain seperti Todd Boehly, Nick Candy dan Keluarga Ricketts telah menyerahkan tawaran mereka tepat pada masanya.
Sementara itu, Saudi Media juga telah berjanji untuk melabur banyak dalam kelab tersebut dan membawa kepakaran mereka dalam bola sepak, stadium dan pengiklanan.
Mereka telah berikrar untuk melabur dalam pasukan wanita dan mempunyai strategi untuk menggunakan skuad itu sebagai duta sukan di Timur Tengah.
Tidak cuma itu, mereka juga berhasrat untuk menyelesaikan sebarang perjanjian dengan cepat untuk membantu menyelesaikan isu aliran tunai yang memberi kesan kepada kewujudan Chelsea di tengah-tengah sekatan yang dikenakan.
Menurut laporan, Saudi Media tidak mahu mendedahkan bidaan mereka kepada umum sehingga fasa keputusan akhir daripada Raine dikeluarkan.
Manakala Raine kini sedang meneliti ratusan halaman dokumen berkaitan penjualan Chelsea kerana mereka berhasrat untuk mengurangkan bilangan calon.
Mereka berharap status penolakan dan kelulusan dapat disediakan pada pagi Isnin, membolehkan tiga atau empat bidaan diteruskan ke peringkat seterusnya.
Dibentang kepada Liga Perdana
Kemudian, rancangan pembida akan dibentangkan kepada Liga Perdana dan dinilai oleh pasukan undang-undang mereka.
Kakitangan kanan Chelsea mengatakan bahawa bidaan seharusnya dilakukan sebelum perlawanan seterusnya menentang Brentford yang berlangsung pada 2 April di Stamford Bridge, untuk melancarkan peralihan ke minggu-minggu terakhir musim ini.
Terdahulu Abramovich dilaporkan akan menjual kelab Chelsea dan hasil penjualan akan disalurkan kepada tabung untuk mangsa-mangsa perang di Ukraine.
Sumber: Goal, Football London