Bayi kembar siam pramatang seberat 2.7kg telah berjaya dipisahkan di Hospital Tunku Azizah (HTA) semalam, menjadikannya sebagai pembedahan kembar siam pramatang pertama di Malaysia.
Kejayaan itu merupakan satu sejarah baharu buat HTA dan institusi perubatan di negara ini.
Menurut pihak HTA, pembedahan seperti itu biasanya dilakukan pada umur tiga hingga enam bulan, namun pasangan kembar tersebut terpaksa menjalani pembedahan segera pada umur 17 hari disebabkan komplikasi extrauterine
twin-to-twin transfusion syndrome.
“Bayi kembar lelaki ini dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan, dan dirujuk oleh Pakar Neonatologi HRPB, Dr. Maneet Kaur a/p Ranjuth Singh untuk rawatan lanjut di HTA,” kata HTA menerusi perkongsian di Facebook.

Keputusan untuk melakukan pembedahan berisiko tinggi itu telah disepakati selepas doktor-doktor pakar HRPB dan HTA mengadakan perbincangan secara dalam talian pada 15 Mac lalu.
Pembedahan itu disertai oleh Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA, Dato’ Dr. Zakaria Zahari dan enam lagi Pakar Bedah Kanak-Kanak dari seluruh Malaysia, dan pasukan bius kanak-kanak yang diketuai oleh Dr. Intan Zarina dan Dr. Ruwaida, beserta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.
Kembar siam pramatang berjaya dipisahkan dalam masa 66 minit
Dalam masa 66 minit, pasangan kembar siam pramatang itu berjaya dipisahkan tanpa sebarang komplikasi major.
“Kembar siam jenis ‘Omphalophagus’ ini didapati berkongsi bahagian hati (liver) dan organ-organ lain didapati normal.
“Proses persediaan untuk pembedahan dimulakan seawal 7.30 pagi dan kedua-dua bayi kemudiannya dihantar balik ke NICU pada jam 2 petang.
“Dengan sokongan pasukan Neonatologi yang diketuai oleh Dr. Neoh dan jururawat NICU HTA, diharapkan kedua-dua bayi ini dapat sembuh dengan sebaik-baiknya,” kata HTA

Difahamkan, semenjak pembukaan HTA, ini merupakan pembedahan ketiga untuk pasangan bayi kembar siam.
Sehingga kini, kiriman HTA itu telah dikongsi sebanyak dua ribu kali dan mendapat 4.2 ribu tanda suka.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada doktor dan kakitangan yang terlibat di dalam pembedahan itu serta meluahkan rasa syukur kerana bayi kembar tersebut dapat diselamatkan.
Alhamdulillah
Tahniah kepada semua barisan doktor dan jururawat
Sumber: Hospital Tunku Azizah