Siakap Keli
Kredit: Twitter @broojambang

Kesusahan Di Awal Perkahwinan Jadi Kenangan Terindah

Setiap pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga perlu bersedia untuk menempuh liku-liku perkahwinan terutamanya berkaitan soal ekonomi keluarga.

Andai kata tidak mampu menempuh fasa ‘kesusahan’ sewaktu di awal perkahwinan, bahtera yang dibina mungkin boleh runtuh dilanda badai.

Seorang pengguna Twitter, @broojambang ada berkongsi pengalaman dan beberapa nasihat berguna yang boleh digunakan untuk pasangan yang bakal atau baru sahaja disatukan.

Beli barang mana yang perlu sahaja dulu

Ingat lagi bila kami baru berkahwin. Kami hanya rumah sewa. Beli dapur, peti ais, tilam dan beberapa barang yang penting saja dulu. Benda tak penting seperti televisyen, meja makan, sofa semua tu kami tak beli.

Kredit: Twitter Wan Zullnaidi

Bulan ni, kami beli peti sejuk. Kumpul duit lagi, kami beli mesin basuh pula. Beli satu-persatu. Masa mula menetap rumah sewa tu, kami hanya beli yang mana perlu sahaja dulu. Bukan beli peti ais dan mesin basuh sekaligus. Beli sikit-sikit. Dah la rumah sewa kat sini boleh tahan harganya.

Tiket flight nak balik kampung lagi, sememangnya banyak nak guna duit. Perkahwinan sememangnya membuka pintu rezeki. Jangan ingat rezeki tu berkaitan duit je, hati senang dan juga isteri yang baik serta solehah pun rezeki. Walaupun tak banyak duit tetapi sentiasa rasa cukup.

Berbuka puasa pun jarang pergi bazar. Makan apa yang ada sahaja. Banyak masak sendiri di rumah daripada makan luar. Masa tu rasa cukup sangat. Hati pun senang. Bila dah beberapa bulan berkahwin, Alhamdulillah rezeki semakin bertambah.

Rezeki semakin bertambah bila dah ada anak

Kehidupan semakin stabil. Bila dah ada anak, lagi bertambah rezeki. Apa yang saya nak sampaikan, bila mula-mula kahwin tu biasalah kalau rasa kesempitan duit sebab baru nak mulakan hidup berumah tangga kan. Tapi percayalah, Allah akan bantu dan permudahkan semuanya.

Jangan kau pernah putus harapan. Yakinlah dengan rezeki kau. Berdoalah selalu supaya kau sekeluarga dimurahkan rezeki. Kau jangan ingat nak hidup serupa drama petang-petang tu je. Nak kahwin dengan orang kaya je. Nak hidup senang je.

Cabaran dalam perkahwinan

Liku-liku kehidupan selepas kahwin ni cabaran dia banyak. Kau kena tabah, kau kena kuat. Itu sebabnya kau ada pasangan. Hadapi dugaan tu berdua. Jangan sorang je derita, kau pulak bahagia.

Kalau boleh jangan kahwin guna pembiayaan peribadi. Kalau terpaksa kahwin guna pembiayaan peribadi pun, janganlah pakai habis untuk majlis kahwin je.

Sekurang-kurangnya simpan lima ribu untuk kehidupan lepas kahwin tu. Ingat kehidupan selepas kahwin tu penting lagi.

Niat kau berkahwin kena betul. Jangan abaikan tanggungjawab kepada anak dan isteri. Susah senang sama-sama. Jangan bila dah senang kau lupa isteri yang sanggup bersusah payah dengan kau dulu. Kepada yang mahu kahwin mulakan dana perkahwinan dari sekarang.

Kesusahan di awal perkahwinan itulah yang jadi kenangan indah. Kenangan kau patut ingat sampai bila-bila. Kenangan yang mendekatkan kau dengan pasangan. Bukannya semakin menjauh. Kah!

Membuat tabung matlamat

Apa yang wan zull nak pesan kepada semua, bina beberapa tabung matlamat untuk capai kesenangan bersama pasangan nanti seperti:

1. Tabung Rumah

2. Tabung Kecemasan

3. Tabung Perkahwinan

4. Tabung Pendidikan

5. Tabung Persaraan

Kalau gagal menyimpan duit, boleh beralih kepada simpanan emas pula.

Sumber: Twitter bro_ jambang

Akhmar Ikmal