Dalam kehidupan seharian sebagai seorang muslim, lafaz basmalah iaitu Bismillahirrahmanirrahim sememangnya sering meniti dibibir terutama apabila membaca Al-Quran.
Malah, ia juga sering dilafazkan sebelum ingin melakukan sesuatu perkara atau perbuatan yang baik seperti memandu kenderaan dan bekerja.
Bagaimanapun, pasti masih ramai yang belum tahu mengenai lafaz basmalah ini terutama penggunaannya dalam Al-Quran.
Menerusi perkongsian Ustaz Azraie di saluran YouTube Siakap Keli, lafaz basmalah diambil daripada surah An-Naml ayat 30.
اِنَّهٗ مِنۡ سُلَيۡمٰنَ وَاِنَّهٗ بِسۡمِ اللّٰهِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِيۡمِۙ
Hukum bacaan Basmalah di permulaan surah
Menurut Ustaz Azraie, ulama mengatakan bahawa hukum membacanya adalah wajib sinai yang mana ia bukannya istilah fuqaha iaitu kita tidak akan dikenakan azab jika tidak membacanya.
Tetapi, sebagai ahli yang membaca Al-Quran maka basmalah ini dianggap sebagai kewajiban apabila membaca awal surah.
Kita diberi pilihan untuk membaca basmalah atau tidak di pertengahan surah tetapi lebih afdhal untuk membacanya.
Untuk pengetahuan, lafaz basmalah ini tidak boleh dibaca di pertengahan surah yang mana ayat tersebut bermula dengan perkataan syaitan ataupun laknat yang tidak enak didengar contohnya seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 268.
اَلشَّيْطٰنُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاۤءِ ۚ وَاللّٰهُ يَعِدُكُمْ مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَاللّٰهُ وَاسِعٌ عَلِيْمٌ ۖ
“Bismillah ini satu ayat atau istilah yang membawa kepada kasih sayang dan keamanan, tiba-tiba kita sambung pada masa yang sama dengan perkataan syaitan, jadi bermakna perkataan yang baik dan buruk dimasukkan dalam satu perkataan, maka tak digalakkan untuk kita baca,” kata Ustaz Azraie.
Tiga cara baca lafaz basmalah di awal surah
Tidak cuma itu terdapat beberapa cara bacaan lafaz basmalah yang perlu dipraktikkan apabila melibatkan dua surah seperti surah yang berturutan, contohnya surah Al-Ikhlas dan Al-Falaq.
Cara pertama yang kita boleh lakukan untuk membaca basmalah di awal surah adalah Qath’ul Jami’ iaitu membacanya selepas akhir surah Al-Ikhlas.
Sementara itu, cara yang kedua pula dipanggil sebagai Washlul Jami’ iaitu menyambungkan semuanya daripada akhir surah, bismillah dan awal surah.
Bagi cara yang ketiga pula, kita boleh waqaf atau berhenti pada akhir surah dan sambung basmalah dengan awal surah.
Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa ada satu cara yang dilarang dibaca iaitu menyambungkan akhir surah dan basmalah, yang menampakkan seolah-olah basmalah itu termasuk dalam akhir surah.
“Dalam Al-Quran satu surah sahaja yang tidak dibenarkan untuk membaca lafaz basmalah di awal surah iaitu surah At-Tawbah kerana ia diturunkan dengan pedang yang menceritakan tentang peperangan. Ia tidak sesuai kerana basmalah adalah untuk keamanan dan kasih sayang,” ujarnya lagi.
Untuk memahami dengan lebih jelas mengenai lafaz basmalah, mari tonton video Ustaz Azraie di bawah ini.
Sumber: YouTube Siakap Keli