Van jenazah yang dilaporkan telah dicuri dari sebuah masjid di Kampung Padang Lati, Sabtu lalu telah ditemui oleh anggota polis.
Memetik laporan Kosmo, polis kini sedang giat mengesan suspek setelah menerima aduan mengenai kes tersebut.
Pengadu yang merupakan pembantu di Masjid Al-Ghafor memaklumkan rakan setugasnya bahawa dia telah melihat van tersebut di persimpangan Alor Tampang.
Baca: Masjid Di Kawasan Pedalaman Ini Rayu Sumbangan RM25,000 Beli Van Jenazah Terpakai
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata van itu dilihat kira-kira pukul 10 pagi,
Namun pengadu tidak mengesyaki apa-apa pada ketika itu.
“Rakan setugas pengadu pergi ke masjid untuk menunaikan solat Zuhur namun mendapati van jenazah itu tiada di tempatnya sebelum menghubungi pengadu.
“Sebaik dihubungi, pengadu memaklumkan dia berada di rumah dan tidak tahu siapa yang memandu van tersebut,” katanya.
Menurutnya lagi, pembantu masjid bersama orang kampung cuba mencari kenderaan tersebut tetapi gagal menemuinya dan mengesyaki kenderaan tersebut dicuri.
Bagaimanapun, van jenazah dicuri itu telah ditemui oleh anggota polis pada hari yang sama.
“Siasatan awal polis mendapati van itu ditinggalkan di kawasan masjid dalam keadaan tidak berkunci dengan kunci kenderaan diletakkan di van tersebut.
“Hebahan telah dilakukan Balai Polis Beseri dan van jenazah berwarna perak jenis Kia Pregio ditemui anggota polis di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar lewat malam semalam,” katanya.
Sumber: Kosmo