KUANTAN, 22 Mac (Bernama) — Seorang nelayan warga Thailand dikhuatiri lemas selepas didakwa terjatuh ke Sungai Kuantan dari bot nelayan di jeti berhampiran Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa berusia 29 tahun dikatakan terjatuh kira-kira 9 pagi, semasa sedang mengisi air batu ke dalam tong air batu di bot tersebut.
“Mangsa dikatakan terjatuh semasa bot sedang mengundur untuk keluar dari jeti. Rakan-rakan mangsa yang melihat kejadian cuba mencarinya, namun gagal,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan melibatkan 34 pegawai dan anggota daripada polis, polis marin, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan kumpulan nelayan.
Sumber: Bernama