Siakap Keli
perkahwinan bawah umur
Gambar Hiasan via Google

Apa Kementerian Dah Buat Nak Bendung Isu Kahwin Bawah Umur?

PUTRAJAYA – Isu perkahwinan bawah umur tidak sepatutnya dimanipulasikan dan sentiasa diperjuangkan demi kepentingan kanak-kanak.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun, pihak KPWKM sentiasa komited dalam usaha menangani punca perkahwinan bawah umur.

“Adalah ditegaskan, isu ini tidak wajar dimanipulasikan oleh sesetengah pihak.

“Hal ini kerana Kementerian sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam menangani isu ini demi kepentingan terbaik kanak-kanak terutama aspek perlindungan dan kebajikan,” ujar beliau dalam kenyataan semalam.

Jelas beliau, melalui Pelan Strategi Kebangsaan, program dan tindakan telah dilaksanakan KPWKM dengan mengambil kira isu-isu yang melibatkan pelbagai sektor.

“Pelan ini turut menetapkan had usia minimum perkahwinan bagi perempuan di bawah undang-undang keluarga Islam dinaikkan.

“Pada masa yang sama, Kementerian menghormati keputusan yang telah dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada September 2021,” katanya.

Keputusan ini adalah seperti yang ditetapkan melalui Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Program yang dilaksanakan di bawah Pelan Strategi Kebangsaan termasuk memperkenalkan aplikasi interaktif remaja myKafeTEEN yang boleh dimuat turun di telefon bimbit.

Aplikasi ini memberi ruang kepada remaja mendapatkan khidmat nasihat, pandangan dan berkongsi masalah dengan kaunselor, pengamal perubatan dan pengamal agama bertauliah.

KPWKM giat meneliti jurang dan perbezaan yang didapati hasil kajian-kajian yang telah dilaksanakan terhadap Pendidikan Kesihatan Reproduktif Seksual (SRH) dalam kurikulum pendidikan sedia ada.

Sementara itu, KPWKM turut menyediakan bahan-bahan pendidikan kesihatan yang bersesuaian dengan remaja dalam bentuk infografik untuk saluran media digital, serta meluaskan pendidikan SRH kepada pelajar melalui program-program di sekolah.

Latihan mengenai pendidikan SRH diberikan kepada Ketua dan kakitangan Institusi Pendidikan, Pelindung Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Skuad Waja, guru dan kaunselor sekolah, guru Tabika atau Tadika dan pengasuh Taska.

Selain itu, KPWKM turut mengambil pendekatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang masih bersekolah (berisiko tercicir) dan yang telah tercicir.

Di samping itu, KPWKM menyelaraskan penyediaan statistik perkahwinan dan penceraian di Malaysia (orang Islam dan bukan Islam) termasuk individu bawah umur 18 tahun yang dikategorikan mengikut jantina, etnik, umur dan negeri.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 2,288 kes perkahwinan bawah umur direkodkan di Malaysia pada tahun 2016.

Angka ini menunjukkan trend penurunan dengan catatan 2,107 kes pada tahun 2017, diikuti 1,856 kes (2018), 1,459 kes (2019) dan 1,124 kes (2020).

Sumber: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.