Siakap Keli
arab saudi mansuh
Gambar via Arabn News

Arab Saudi Mansuh Semua Sekatan COVID-19

RIYADH, 23 Mac (Bernama) — Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan untuk mansuh semua sekatan COVID-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua pengunjung ke negara itu.

Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya pada Isnin, sekatan yang dimansuhkan termasuk penyerahan sijil vaksinasi COVID-19 dan ujian PCR, sebelum atau semasa ketibaan di Arab Saudi.

Langkah itu diambil susulan penurunan kes dan kadar vaksinasi mencapai 99 peratus untuk semua penduduk berumur 12 tahun ke atas.

Pada laporan sebelum ini, Arab Saudi tidak lagi mewajibkan pelancong menjalani kuarantin wajib COVID-19 sebaik tiba di sana dan penumpang juga tidak perlu lagi menyediakan ujian PCR semasa ketibaan mereka.

Penjarakan sosial di dua masjid suci dan semua masjid dalam kerajaan negara itu turut ditamatkan. Walau bagaimanapun, jemaah masih perlu memakai pelitup muka.

Difahamkan, kerajaan itu juga telah menarik balik penggantungan penerbangan terus dan ketibaan dari negara Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Lesotho, Eswatini, Mozambique, Malawi, Mauritius, Zambia, Madagascar, Angola, Seychelles, Republik Bersatu Comoros, Nigeria, Ethiopia dan Afghanistan.

Kementerian Dalam Negeri negara itu juga turut menekankan kepentingan untuk terus melengkapkan perlaksanaan pelan kebangsaan untuk imunisasi.

Ini termasuk mengambil dos penggalak dan menggunakan prosedur untuk mengesahkan status kesihatan dalam aplikasi “Tawakkalna” untuk menyertai sebarang acara, aktiviti, kemudahan, pesawat dan pengangkutan awam.

Sumber itu menjelaskan bahawa langkah-langkah yang diambil di atas adalah tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan yang berwibawa di negara itu, mengikut perkembangan dalam situasi epidemiologi.

Sumber: Bernama, Saudi Gazzete

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.