Kisah seorang pemuda berusia 19 tahun menjadi tular di India apabila dia berlari sejauh 10 km dari tempat kerja ke rumah setiap hari sebagai latihan untuk menjadi askar.
Memetik laporan The Economic Times, Pradeep Mehra telah melakukan rutin itu sebagai usaha untuk menyertai tentera dan kesungguhannya itu telah mendapat pujian ramai.
Menerusi video yang dimuatnaik oleh seorang pengguna media sosial, Pradeep dilihat berlari dengan menggalas beg di belakangnya.
Lelaki yang merakam video itu cuba untuk menumpangkannya namun Pradeep menolak pelawaan itu dengan baik dan berkata bahawa dia lebih suka untuk berlari.
Selepas videonya tular, Pradeep berkata dia lebih berazam untuk memenuhi impiannya selepas menerima kata-kata semangat dan pujian daripada orang ramai.
“Seseorang telah merakam video saya dan ianya menjadi tular. Ramai yang menyukai video tersebut.
“Ia membuatkan saya terus bersemangat dan secara tidak langsung ianya telah membuatkan ramai terinspirasi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua,” katanya.
Unsung heroes who leave us with lots to think. Proud of this young worker. May he succeed beyond his dream. #pradeep pic.twitter.com/JISrTiiTy8
— Safir (@safiranand) March 20, 2022
Pemuda itu dilaporkan bekerja di McDonald’s di Noida’s Sector 16 dan berlari sejauh 10 km setiap malam untuk sampai ke rumah di Kampung Barola selepas waktu kerjanya tamat.
Dalam video itu, Pradeep mendedahkan sebab di sebalik rutin lariannya. Dia berkata bahawa dia bercita-cita untuk menyertai Tentera Darat.
Susulan itu, beberapa orang di negara itu telah menawarkan diri untuk membantu pemuda tersebut.
Leftenan Jeneral (bersara), Satish Dua memuji kekuatan dan dedikasi Pradeep sambil menawarkan untuk membantunya lulus ujian pengambilan berdasarkan meritnya.
BACA:“Hon Kalau Nak…”, Kegigihan Anak Muda Cari Rezeki Jual Ketupat Di Jalanan Dipuji Netizen
Dia juga menghubungi orang lain dari tentera untuk membantu pemuda itu memenuhi impiannya.
Pradeep berasal dari bandar Almora di Uttarakhand dan tinggal di Barola di Noida bersama abangnya.
Ibunya pula dilaporkan sedang dirawat di hospital selama lebih sebulan.
Pemuda itu berlari dari tempat kerjanya ke rumah setiap malam untuk mengekalkan rutinnya kerana dia tidak mempunyai masa untuk berlatih pada waktu pagi.
Sementara itu, beberapa nama terkenal dari dunia hiburan, perniagaan dan kriket turut memujinya kerana mereka terinspirasi daripada komitmen yang ditunjukkan pemuda itu.
Penerbit filem dan jurugambar, Atul Kasbekar menghubungi dan meminta alamat Pradeep supaya dia boleh menghantar kit sukan, kasut lari, pakaian dan beg galas daripada Puma.
Sumber: The Economic Times