Siakap Keli
gondola
Gambar: Mothership

Gondola Dinaiki Alami Masalah, Dua Pekerja Cemas Tergantung Di Tingkat 7

Dua pekerja asing berdepan detik cemas apabila kabel pada gondola yang mereka naiki longgar sebelah bahagian hingga menyebabkan peralatan setinggi tujuh tingkat itu tergantung dalam kedudukan hampir menegak.

Kabel longgar apabila gondola setinggi tujuh tingkat

Memetik akhbar berbahasa Cina Shin Min Daily News, kejadian mengerikan itu berlaku di Blok 708 Pasir Ris Drive, kira-kira jam 9:30 pagi semalam.

Menurut jurucakap majlis perbandaran, pada ketika itu, kedua-dua pekerja asing tersebut sedang melakukan kerja memasang jaring bagi menghalang burung daripada bersarang di kawasan itu.

Gondola itu telah dipasang pada 22 Mac sebagai persediaan untuk kerja pemasangan jaring tersebut.

Bagaimanapun, kabel di sebelah kanan gondola mula longgar semasa gondola itu berada di tingkat tujuh.

Hal ini menyebabkan bahagian kanan gondola mula senget hingga kedudukannya hampir menegak, di mana hujung kanan gondola itu mencapai tingkat enam blok tersebut.

Gambar: Mothership

Pekerja asing melarikan diri melalui tangga

Seorang penduduk berusia 65 tahun yang tinggal di tingkat tujuh berkata, dia cuba memeriksa keadaan selepas dia dikejutkan dengan bunyi “dentuman” yang kuat.

Dia melihat gondola itu bergegar dari tangga dan pekerja asing yang terkandas di atas gondola tersebut dilihat sedang cemas.

Seorang lagi penduduk berusia 35 tahun memberitahu bahawa peralatan seperti tin cat telah tergelincir jatuh dari gondola dan terpercik di tembok serta dinding di bawah.

Bagaimanapun, tindakan pantas pekerja asing itu memanjat ke arah tangga berhampiran berjaya menyelamatkan diri mereka.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, namun kedua-dua pekerja asing itu telah digegaskan ke hospital untuk pemeriksaan.

Pihak berkuasa akan menyiasat punca kejadian

Seorang wartawan yang berada di tempat kejadian menyedari bahawa kabel yang memegang gondola tersebut tidak setara. Meskipun kabel dilihat tidak putus, namun gondola tetap tidak berfungsi.

Jurucakap majlis perbandaran berkata, mereka tidak pasti mengapa kabel itu longgar. Namun, mereka telah melaporkan kejadian itu kepada Kementerian Tenaga Manusia dan pihaknya akan menyiasat punca kejadian tersebut.

BACA: Tak Undi Parti Sama Dalam Pilihan Raya, Lelaki Ugut Cerai & Halau Isteri

Sumber: Mothership 

Aireena Marizan