Seorang lelaki terkejut apabila mengetahui dirinya memiliki empat buah pinggang serentak di dalam badan, lapor BBC.
Lelaki berkenaan, Stuart Middleton, 46, tersedar selepas menjalani prosedur pembedahan kedua menerima buah pinggang baharu daripada seorang penderma.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu. Saya tidak tahu mereka telah meninggalkan buah pinggang lama dalam diri saya juga.
“Muatkan tubuh saya dengan buah pinggang berkenaan, kerana saya mahu hidup lebih lama,” katanya, memetik BBC.
Difahamkan, buah pinggangnya rosak gara-gara menghidap penyakit Berger, iaitu berlaku pengumpulan antibodi yang memusnahkan fungsi organ tersebut.
Menurut BBC, dia juga turut pernah mengalami migrain dan sakit perut yang berpanjangan selama 10 tahun sebelum disahkan menghidapi penyakit berkenaan pada 2007.
Difahamkan, ketika itu, Stuart menetap di East Lothian dan dia bersama isterinya, Mhairi berulang-alik ke tempat kerja bersama di Edinburgh.
Lapor BBC, setiap perjalanan mereka akan dipandu Mhairi kerana lelaki itu kerap tertidur.
Pada awalnya mereka berdua tidak mengesyaki apa-apa yang berbahaya yang teruk, sehinggalah seorang rakan sekerja mereka mencadangkan untuk Stuart mengambil ujian darah.
“Pihak hospital berkata fungsi buah pinggang saya hanya tinggal sembilan peratus dan mereka tidak tahu bagaimana saya masih boleh berjalan,” katanya.
Menariknya, salah sebuah buah pinggang baharunya didermakan oleh ibunya sendiri, Val Middleton, 76 kira-kira enam bulan kemudian.
Pada awalnya, dia mengganggap bahawa badannya tidak boleh menerima buah pinggang ibunya itu, selain turut bimbang usaha itu akan berakhir begitu saja.
“Apa yang saya boleh fikirkan ialah adakah badan saya akan menolak buah pinggang ibu dan dia akan melalui semua ini dengan sia-sia. Rasa bersalah itu luar biasa,” katanya.
Bagaimanapun, pembedahan pemindahan buah pinggang pertama pada 2008 itu berjaya dan ia mampu bertahan selama sembilan tahun,
“Saya sebenarnya rasa macam terikat secara fizikal dengan ibu saya selepas pembedahan.
“Buah pinggangnya ada dalam badan saya dan ia seakan menjalin satu ikatan kuat antara kami. Dia menyelamatkan nyawa saya,” katanya.
Meskipun berjaya menukar buah pinggang baharu, namun tahap kesihatannya kembali merosot selepas tujuh tahun.
Difahamkan, buah pinggang kedua pula didermakan oleh rakan kerjanya sendiri, Ninon Ferguson, 36, dalam satu pemindahan pada November 2017 lalu.
Stuart yang menetap di Lauder di sempadan Scotland kini menjalani hidup seharian dengan memakai tali pinggang khas bagi melindungi organnya.
Difahamkan, menurut Kidney Research UK, meninggalkan buah pinggang berlebihan di dalam badan pesakit semasa pemindahan adalah perkara biasa.
Sumber: BBC News