Meramal cuaca adalah satu tindakan yang penting bagi mengetahui keadaan alam sekeliling akan datang untuk satu tempoh tertentu. Cuaca juga berkait rapat dengan perubahan iklim bumi.
Iklim di Malaysia sering mengalami perubahan sama ada boleh diramal ataupun di luar jangkaan. Perubahan iklim yang berlaku dipercayai boleh memberikan impak yang besar kepada manusia dan hidupan.
Apa itu perubahan iklim?
Merujuk portal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), perubahan iklim merujuk kepada perubahan signifikan dalam purata keadaan iklim ataupun kepelbagaiannya untuk jangka masa panjang.
Perubahan iklim berlaku mungkin kerana proses semulajadi dalaman bumi, faktor luaran ataupun perubahan antropogenik terus-menerus dalam komposisi atmosfera dan penggunaan tanah.
Selain itu, perubahan iklim disebabkan oleh aktiviti manusia yang mengubah komposisi atmosfera global secara langsung atau tidak langsung, selain merupakan tambahan terhadap kepelbagaian iklim semulajadi untuk tempoh masa yang dapat dibandingkan.
Hari ini, Siakap Keli menjalankan wawancara khas bersama Timbalan Ketia Pengarah Operasi Jabatan Meteorologi Malaysia, Lim Ze Hui mengenai isu perubahan cuaca ekstrim yang berlaku di negara ini.
Dalam wawancara tersebut, terdapat banyak isu-isu menarik yang dikupas. Namun salah satu isu yang mungkin boleh dikongsi dan dimanfaatkan oleh orang ramai adalah mengenai kaedah meramal cuaca secara tradisional.
Meramal cuaca guna kaedah tradisional
Bersempena Hari Meteorologi Sedunia pada 23 Mac semalam, beliau berkata salah satu cara untuk meramal cuaca adalah dengan melihat alam semulajadi mengikut kaedah tradisional.
Jelas beliau, orang-orang zaman dahulu meramal cuaca hanya dengan melihat alam semulajadi seperti pergerakan burung dan serangga-serangga di sekeliling.
Manakala dalam tempoh bulan-bulan tertentu, burung-burung juga turut akan bermigrasi dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
“Perkara ini telah diceritakan oleh orang terdahulu sekiranya burung-burung bermigrasi akan berlaku peralihan musim di tempat itu,” katanya.
Tambahan pula, beliau turut menjelaskan bahawa tindak balas serangga juga antara salah satu cara untuk meramal cuaca.
Namun menurutnya, masyarakat pada zaman sekarang (mungkin) sudah kurang peka dengan persekitaran, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sibuk bekerja di tengah bandar.
“Cara ini boleh digunakan bagi mereka yang sering masuk ke dalam hutan namun kebanyakan ilmu ini sudah tidak diajarkan lagi kepada generasi sekarang,” jelasnya.
Dalam perbincangan itu, Lim Ze Hui berharap orang awam untuk sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan cuaca yang kerap berubah pada masa sekarang bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Sumber: Siakap Keli TV