Kalau kontraktor buat ‘hal’ yang boleh mendatangkan masalah dan kerugian yang besar, adakah kita ada kuasa untuk saman mereka?
Dalam dunia pembinaan, umumnya kita memang tidak akan dapat lari daripada masalah-masalah seperti kos bahan, bekalan bahan binaan tidak mencukupi dan sebagainya.
Selain itu, jika kos tinggi tapi bajet tiada atau ‘terputus’, ia juga mungkin akan menyebabkan tempoh pembinaan itu akan jadi lebih lama dari jangkaan masa yang sepatutnya.
Namun bagaimana pula jika kontraktor binaan itu sendiri yang buat ‘hal’ hingga mendatangkan masalah kepada kita? Apakah tindakan pemilik mutlak binaan yang boleh diambil?
Menyelongkar perkongsian seorang peguam hartanah, Syazwan Mohd Jafri, beliau ada kongsikan akta dan tindakan undang-undang yang boleh kita ambil jika kontraktor binaan itu ‘bikin’ masalah.
Ikuti perkongsian beliau yang telah kami sertakan di bawah, semoga bermanfaat.
ADUHAI PENING KONTRAKTOR BUAT HAL, NAK SAMAN MAHAL PULAK. APA PILIHAN YANG ADA? (Ketahui hak anda sebagai klien teraniaya.)
Musim raya dah dekat. Pasti ramai yang dah mula renovate rumah sebagai persediaan perayaan. Namun, mungkin ada yang mengalami masalah kontraktor/tukang rumah lambat siapkan kerja walaupun dah dibayar penuh.
Ada juga yang kenakan CAJ TAMBAHAN, untuk baiki kerosakan yang diakibatkan mereka. Jadi apa hak anda dalam situasi ini? Perkongsian singkat hari ini.
SEDIAKAN SURAT PERLANTIKAN KONTRAKTOR
Pertama sekali, pastikan anda menyiasat latar belakang kontraktor dan pastikan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Seterusnya, pastikan suratcara lantikan kontraktor yang betul dan lengkap tersedia walaupun untuk simple renovation sekalipun. Suratcara inilah yang menjadi bukti utama jika ada masalah kelak, dan jika anda ingin menuntut terhadap kontraktor.
HAK ANDA DI BAWAH AKTA PERLINDUNGAN PENGGUNA 1999 (APP 1999)
Seksyen 53 APP 1999 menyebut – Perkhidmatan yang dibekalkan kepada pengguna, mestilah dijalankan dengan ketelitian dan kemahiran yang munasabah.
Maksud lainnya, sekiranya servis adalah tidak berpatutan, sebagai pengguna anda ada hak untuk menuntut ganti rugi. Kontraktor tidak terkecuali dari ini.
TUNTUT HAK ANDA DI TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA MALAYSIA (TTPM)
Jika kontraktor buat masalah, terus failkan tuntutan anda di TTPM. Pada peringkat ini, pentingnya untuk anda bawa suratcara perlantikan sebagai bukti lantikan dan bayaran yang telah dibuat bagi mengukuhkan tuntutan anda.
INFO TAMBAHAN
Tuntutan di TTPM hanya untuk tuntutan tidak lebih RM50,000.00 sahaja. Jika lebih, maka pilihan yang lain adalah dengan melantik peguam.
Selain itu, bayaran pemfailan adalah sangat murah iaitu RM5.00 sahaja jadi tak perlu runsing tentang kos.
KESIMPULAN
Sebagai pengguna yang bijak, adalah wajar untuk kita lengkapkan diri kita dengan ilmu undang-undang supaya hak kita dilindungi. Namun perlu juga untuk ingat yang bahawa sebagai pengguna, “you get what you pay for”. Demand kita perlulah munasabah dan berpatutan dengan apa yang kita bayar.
Sumber: Syazwan Mohd Jafri