Siakap Keli
peluru berpandu india
Gambar via Bernama

Tembakan Tidak Sengaja Peluru Berpandu India Boleh Cetuskan Perang – Pakistan

NEW DELHI, 24 Mac (Bernama) – Pakistan pada Rabu berkata ia memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai peluru berpandu India yang mendarat di wilayahnya pada 9 Mac, insiden yang dikatakan India berlaku disebabkan kesilapan teknikal namun penjelasan itu tidak memuaskan hati Islamabad.

Menteri Luar Shah Mahmood Qureshi, bercakap pada sidang akhbar bersama dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha selepas mesyuarat Menteri Luar OIC di Islamabad, berkata Pakistan mengutus surat kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan presiden Majlis Keselamatan PBB untuk “mengetengahkan keseriusan” insiden peluru berpandu itu.

“Kejadian itu boleh mencetuskan perang yang tidak disengajakan di Asia Selatan. Ia serius seperti itu,” katanya.

Qureshi berkata kejadian itu menimbulkan “beberapa persoalan yang sangat memerlukan jawapan” dan mengulangi permintaan Pakistan untuk mengadakan siasatan bersama akan perkara itu.

Kementerian Pertahanan India pada 11 Mac berkata “kesilapan teknikal menyebabkan tembakan peluru berpandu secara tidak sengaja” semasa “penyelenggaraan rutin.”

Menteri Pertahanan India Rajnath Singh pada 15 Mac berkata di Parlimen negara itu akan menjalankan kajian semula prosedur operasi standardnya untuk menguruskan sistem senjata canggihnya dan menegaskan bahawa sistem peluru berpandu India adalah “sangat boleh dipercayai dan selamat.”

Kerajaan India tidak menyatakan jenis senjata yang terlibat dalam kejadian itu.

Sebelum ini, India dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa berlaku satu insiden peluru berpandu miliknya tertembak secara tidak sengaja ke arah Pakistan akibat kegagalan fungsi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 9 Mac 2022, kejadian berkenaan berlaku semasa kerja-kerja penyelenggaraan kerosakan teknikal membabitkan aset tentera tersebut sedang dijalankan.

Pakistan melaporkan sebuah peluru berpandu supersonik tanpa kepala peledak didakwa milik India telah ditembak ke wilayahnya dan jatuh berdekatan Mian Channu.

Insiden berkenaan dilapor menyebabkan bangunan milik orang awam rosak, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Pakistan membantah keras insiden tersebut dan meminta India memberikan penjelasan.

Jurucakap tentera Pakistan dalam satu kenyataan berkata, sistem pertahanan udaranya berjaya menjejak dan mengawasi arah penerbangan perluru berpandu jenis udara-ke-udara itu sebaik sahaja ia dilancarkan dari wilayah India di Sirsa, kira-kira 104 kilometer daripada sempadan kedua-dua buah negara.

Dari laluan asalnya, peluru berpandu berkenaan secara tiba-tiba menukar haluan dan menceroboh ruang udara Pakistan. Peluru berpandu itu dilapor terbang pada altitud 12 kilometer dan berada dalam ruang udara Pakistan selama 204 saat sebelum jatuh kira-kira 124 kilometer dalam Pakistan daripada sempadan Timur berdekatan Punjab.

— BERNAMA

Aireena Marizan