Siakap Keli
Gambar : Mothership

Doktor Ini Dakwa Mereka Yang Tak Pernah Dijangkiti Covid-19 Mungkin Kerana Tiada Kawan

Seorang doktor di Korea Selatan baru-baru ini mendakwa mereka yang belum dijangkiti Covid-19 sebenarnya berkemungkinan kerana mereka tidak mempunyai kawan, lapor Mothership.

Catatan yang dikeluarkannya itu telah mencetuskan kontroversi selepas beliau mengeluarkan dakwaan berkenaan.

Masalah Interpersonal?

Menurut Korea Herald, Ma Sang-Hyuk, naib presiden Persatuan Vaksin Korea, mendakwa orang dewasa yang belum dijangkiti virus merupakan mereka yang mempunyai masalah interpersonal.

Ma menjelaskan dakwaannya berkenaan ‘masalah interpersonal’ hanyalah sebagai metafora untuk menekankan cara jangkitan virus itu tidak dapat dielakkan.

Tambahnya dalam laporan Mothership, Ma juga telah menyatakan bahawa pihak berkuasa harus menumpukan perhatian kepada rawatan Covid-19 dan bukannya mengetatkan langkah penjarakan sosial di negara itu.

Dalam catatannya, jumlah kes baharu harian Covid-19 di Korea melebihi 400,000 dan jumlah kematian mencecah paras tertinggi.

Tangkapan skrin catatan Facebook asalnya sempat dirakam dan disebar secara meluas sebelum dipadam.

Terdapat juga komen yang sama turut dikongsikan oleh pakar penyakit berjangkit Mexico awal tahun ini.

Situasi Covid-19 Di Korea Selatan

Menurut News18, jumlah jangkitan Covid-19 yang direkodkan sehingga 23 Mac 2022 di Korea Selatan telah melepasi paras 10 juta dan hampir satu daripada setiap lima orang telah diuji positif.

The Associated Press melaporkan bahawa pegawai kesihatan di Korea Selatan telah mengarahkan krematorium untuk membakar lebih banyak mayat setiap hari di tengah-tengah peningkatan rekod bagi jumlah kematian Covid-19.

Pembakaran itu dilaporkan turut membebankan rumah pengembumian, di mana keluarga yang bergelut untuk menguruskan pengembumian harus menunggu lebih lama untuk pembakaran mayat.

Sumber : Mothership

Fathin Nadzira