Siakap Keli

Saintis Temui Partikel Plastik Dalam Darah Manusia Buat Pertama Kali

Satu kajian terbaharu mendedahkan mengenai penemuan pertama dan mengejutkan iaitu mikroplastik dilapor telah dikesan berada di dalam darah manusia.

Dalam kajian tersebut, sekumpulan saintis di Belanda mengambil sampel darah daripada 22 penderma dewasa yang sihat secara rawak dan hasil analisis mendapati mikroplastik ditemui didalam sampel darah 17 orang daripada sukarelawan tersebut.

”Kajian kami adalah petunjuk pertama bahawa, zarah polimet sememangnya sudah memasuki darah manusia,” kata penulis kajian tersebut, Profesor Dick Vethaak dari Universiti Vrije di Amsterdam.

Kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Environment International, menguji sampel darah untuk pencemaran lima jenis plastik iaitu polimetil metakrilat (PMMA), polipropilena (PP), polistirena (PS), polietilena (PE) dan polietilena tereftalat (PET).

Penyelidik mendapati bahawa 50 peratus daripada sampel darah mengandungi Polyethylene terephthalate (PET). Jenis plastik ini digunakan secara meluas untuk membungkus makanan dan minuman.

Sementara itu, 36 peratus mengandungi polistirena iaitu plastik yang digunakan untuk membungkus dan penyimpanan makanan. Manakala 23 peratus mengandungi polietilena iaitu bahan beg plastik. Hanya satu sampel mewakili lima peratus mempunyai polimetil metakrilat dan tiada sampel darah mempunyai polipropilena.

Paling membimbangkan, para saintis menemui sehingga tiga jenis plastik dalam satu sampel darah.

Kesan kesihatan akibat penemuan mikroplastik dalam darah buat masa ini masih tidak jelas, walaupun kajian tahun lepas mendakwa ia boleh menyebabkan kematian sel dan tindak balas alahan pada manusia.

Dalam laporan BERNAMA, Khairy berkata Malaysia berkemungkinan akan melaksanakan kajian sama ada plastik kini berada dalam sistem darah manusia seperti yang dilaporkan oleh saintis dari Belanda.

“Saya terkejut bila baca dapatan tersebut daripada saintis di Belanda. Saya rasa perkara ini saya akan bangkitkan dengan Institut Penyelidikan Kesihatan Malaysia, mungkin kita juga boleh buat kajian tersebut di sini untuk melihat sama ada plastik sudah masuk dalam sistem darah kita,” katanya.

Mikroplastik pernah ditemukan di dalam otak, usus, plasenta bayi yang belum lahir dan najis orang dewasa dan bayi tetapi ini pertama kali ia dijumpai dalam darah manusia.

Sumber: Dailymail, SCMP, BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.