Siakap Keli
indonesia tesla
Gambar: NDTV/Google

Indonesia Bertegas Tidak Akan Tunduk Pada Syarat Tesla Untuk Pelaburan Bateri

Indonesia bertegas untuk tidak mahu tunduk kepada syarat-syarat rundingan yang dikenakan syarikat pengeluar kereta elektrik dari Amerika Syarikat (US), Tesla.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan sebaliknya bertegas bahawa syarikat itulah yang perlu ikuti segala syarat-syaratnya kali ini.

“Saya mendapat panggilan daripada US pagi tadi, Tesla berkata mereka mahu membuat perjanjian dengan kami,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu, Luhut imbas kembali bagaimana pengasas Tesla, Elon Musk pada dua tahun lalu merancang untuk melabur dalam pembangunan bateri lithium di Indonesia.

Namun ketika itu, perancangan syarikat dari US tersebut dikatakan terbatal gara-gara tidak mahu menuruti syarat yang dikenakan oleh Indonesia.

Gambar: Tempo.com

“Dua tahun lalu anda (Tesla) menghubungi saya untuk menghasilkan bateri lithium. Anda semua mahu menggunakan Indonesia.

“Tapi hari ini berbeza. Kita semua sama rata. Anda tidak boleh membuatnya lagi. Ini bukan negara Republik Pisang! Negara ini adalah negara yang hebat!” katanya.

Luhut juga menjelaskan, ketika Tesla mahu memasuki Indonesia pada waktu itu, syarikat tersebut diminta untuk mematuhi segala syarat yang diberikan oleh kerajaan Indonesia.

Jelas Luhut, syarat-syarat yang dikenakan itu juga turut terpakai kepada mana-mana pelabur dari negara lain, termasuklah China.

Difahamkan, antara syarat yang dikenakan termasuklah menjalankan pemindahan teknologi, menggunakan teknologi mesra alam, melatih pekerja-pekerja tempatan (warga Indonesia) dan memberikan nilai tambah.

“Saya tidak mahu anda (Tesla) membuat syarat untuk kami. (Biar) saya yang buat syarat untuk anda,” tegas Luhut.

Sumber: Tempo.com

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.