Siakap Keli
Gambar iLuvislam via Google

Kisah Huzaifah Yamani, Penyimpan Rahsia Rasulullah SAW & Dipilih Jadi ‘Pengintip’ Musuh Dalam Perang Khandak

Setiap orang pasti akan menyimpan rahsia tentang dirinya, rahsia kawan, keluarga dan orang lain. Kebanyakan rahsia yang disimpan bertujuan adalah untuk tidak mahu diketahui oleh seseorang yang lain.

Kadang-kadang, rahsia itu boleh membawa kepada kebaikan ataupun keburukan sekiranya ia diketahui ataupun ‘terlepas cakap’. Namun tidak dinafikan, ada segelintir generasi sekarang lebih gemar untuk mendedahkan rahsia demi populariti.

Tahukah anda, walaupun rahsia itu hanyalah sekadar sesuatu yang dianggap kecil, namun sebenarnya nilai sesebuah rahsia itu sangat memberi impak yang besar. Hal ini terbukti dalam riwayat sejarah kisah Nabi Muhammad SAW sendiri.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, terdapat seorang tokoh yang menyimpan rahsia-rahsia Rasulullah SAW iaitu Huzaifah Ibn Al Yamani.

Sejak dari kecil lagi, Huzaifah sudah dibesarkan dalam keluarga Islam. Diceritakan juga, ayahnya antara sahabat awal yang memeluk Islam. Oleh itu, Huzaifah sudah didedahkan dan dipupuk dengan agama Islam sejak kecil.

Walaupun Huzaifah dibesarkan dalam keluarga Islam, beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah SAW sejak kecil. Apabila mendengar perkhabaran tentang penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah, Huzaifah antara orang yang ternanti-nanti akan kehadiran Baginda.

Diceritakan juga, Huzaifah ini sangat akrab dengan Rasulullah SAW sehingga beliau menjadi pendamping Baginda semasa Baginda berada di Madinah.

Miliki tiga sifat terpuji

Apabila Rasulullah SAW nampak sahaja kelibat Huzaifah dari jauh, Baginda sangat senang dan sayang kepadanya kerana insan itu memiliki tiga sifat dan keperibadian yang sangat mulia.

Antara keperibadiannya yang dilihat dari kaca mata Rasulullah SAW adalah beliau seorang yang sangat cerdik dalam menyelesaikan masalah.

Selain itu, sifat kedua Huzaifah adalah beliau seorang yang taat kepada pemerintah sehinggakan bertindak pantas apabila disuruh untuk membuat sesuatu perkara.

Manakala sifat ketiga adalah Huzaifah merupakan seorang yang pandai menyimpan rahsia. Dikatakan walaupun pelbagai orang datang menyoal Huzaifah dengan bermacam cara, namun beliau tidak pernah sesekali membocorkan rahsia tentang Rasulullah SAW.

Sehinggakan Baginda Muhammad SAW sangat mempercayai beliau dengan memberikan senarai nama-nama orang munafik kepadanya. Hanya Huzaifah sahaja yang diberikan senarai nama itu oleh Rasulullah SAW.

Tujuan Rasulullah SAW memberikan senarai nama tersebut kepadanya itu adalah untuk mengawasi gerak-geri orang-orang munafik berkenaan, selain  Baginda SAW dapat bertindak awal.

Sepanjang amanah yang diberikan oleh Rasullah SAW kepadanya, beliau tidak pernah menceritakan nama-nama orang munafik yang terdapat dalam senarai yang diberikan itu.

Hatta walaupun yang bertanyakan itu adalah daripada kalangan para sahabat Rasulullah SAW sendiri, Huzaifah tetap tidak mahu menceritakan rahsia senarai nama tersebut.

Tambahan pula, apabila berlaku kematian, Saidina Umar Al-Khattab akan melihat Huzaifah datang ataupun tidak untuk solat jenazah. Sekiranya Huzaifah tidak datang, maka Saidina Umar Al-Khattab juga tidak akan solat kerana orang (yang mati) itu adalah orang munafik.

Menjadi ‘perisik’ tentera Islam

Ketika Perang Khandak, disebabkan memiliki sifat cerdas dan boleh dipercayai untuk menyimpan rahsia, Rasulullah SAW melantik Huzaifah untuk ‘bertugas’ menjadi pengintip dalam pasukan musuh.

Sewaktu menyelinap ke pasukan musuh, Abu Sufian yang merupakan ketua disaat itu mahu menyampaikan maklumat namun tidak mahu ia sampai ke Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, Abu Sufian panggil setiap pasukan untuk menyuruh mereka bertanya tentang orang disebelahnya.

Akibat kecerdasan yang dimiliki oleh Huzaifah, beliau sempat bertanya kepada orang disebelah kanan dan kirinya tentang latar belakang mereka. Hal ini membuatkan beliau tidak disyaki dan dapat pulang kembali ke pasukan Rasulullah SAW dengan selamat.

Setelah pulang, Huzaifah tidak terus memberitahu kepada askar-askar Islam yang lain bahawa mereka sudah pun menang, sebaliknya beliau terus berjumpa dengan Rasulullah SAW dan menceritakan tentang perkara yang berlaku.

Hal ini menunjukkan betapa amanahnya Huzaifah dalam menjalakan tugas. Akhir sekali, Rasulullah SAW mengisytiharkan bahawa kumpulan tentera Islam di bawahnya sudah pun menang.

Sumber: Youtube Siakap Keli

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.