Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pemilik utama termasuk semua data yang diterima aplikasi itu.
Menerusi kenyataan media, Khairy berkata pihak kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), yang telah membangunkan MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi ini dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.
Syarikat tawar penggunaan MySejahtera berdasarkan prinsip CSR
Menurutnya, ia adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat.
Sejak ia dilancarkan, penggunaan aplikasi MySejahtera adalah melalui pendekatan “perisian sebagai platform perkhidmatan” (software as a service -SaaS).
Pendekatan ini membantu kerajaan mengurangkan masa kitaran (turnaround time) yang diperlukan untuk membangunkan perisian baharu susulan keperluan satu sistem khusus untuk menguruskan pandemik COVID-19
Katanya lagi, kerajaan pada 31 Mac 2021 bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan setelah tamat tempoh CSR tersebut.
Aplikasi MySejahtera digunapakai kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya.
Sehubungan itu, kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan pada hari ini.
MySejahtera kini mempunyai lebih 10 modul serta sebanyak 38 juta pengguna berdaftar terdiri daripada warganegara, bukan warganegara dan juga pengembara.
Dalam kenyataan itu, Khairy juga berkata keputusan kerajaan pada 26 November 2021 turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan.
Ia bagi melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras dengan tatacara perolehan kerajaan.
BACA JUGA: Ini Cara Untuk Pindahkan Data MySejahtera Di Nombor Telefon Lama Ke Nombor Baharu
Sementara itu, permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 28 Februari 2022.
Proses rundingan tersebut dikatakan telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan kerajaan.
Data di bawah penyeliaan KKM
Tegas Khairy lagi, data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan.
“Segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan oleh KKM,” katanya.
Tambahnya, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematahui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.
Disebabkan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.
Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi
Terdahulu, tular di media sosial mengenai status pemilikan MySejahtera yang didakwa telah dimiliki oleh syarikat swasta.
MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan dengan KKM sebagai pemilik utama termasuk semua data yang diterima MySj. Kerahsiaan data adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi. pic.twitter.com/DcRCID0vXb
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) March 27, 2022
Sumber: @Khairykj