Warga Selangor yang solat berjemaah di masjid, surau dan musolla dibenarkan untuk merapatkan saf bermula Jumaat 1 April ini.
Hal ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haji Mohd Shahziman Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.
“Solat berjemaah di masjid, surau dan musolla di Negeri Selangor boleh dirapatkan saf seperti biasa tanpa penjarakan fizikal,” katanya.
Difahamkan, kebenaran tersebut mendapat perkenan daripada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Azizi Shah Alhaj.
“Ketetapan ini dibuat setelah Baginda mengadakan rundingan bersama dengan pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pengarah JAIS, timbalan mufti Selangor dan pengarah kesihatan Selangor serta beberapa lagi Ahli Dewan di-Raja Selangor,” tambahnya.
Dalam pada itu, aktiviti solat tarawih pada Ramadan ini juga akan dilakukan di semua masjid, surau dan musolla di sekitar Selangor.
“Oleh itu, solat tarawih pada bulan Ramadan ini akan dilakukan di seluruh masjid, surau dan musolla di negeri Selangor.
“Solat tarawih juga dikekalkan untuk dilaksanakan dengan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan.
“Selain itu, semua aktiviti lain di masjid, surau dan musolla boleh dilakukan termasuk aktiviti di sepanjang bulan Ramadan boleh dilaksanakan seperti biasa,” jelasnya lagi.
Justeru, JAIS turut menetapkan beberapa ketetapan dan prosedur operasi standard (SOP) berikutan kebenaran tersebut.
Antaranya, kebenaran hadir solat tersebut hanya diberikan kepada individu yang lengkap divaksinasi sahaja, sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“(Kebenaran) bagi individu yang berumur di bawah 18 tahun dan telah lengkap menerima dua (2) dos vaksin sahaja yang dibenarkan hadir ke masjid, surau dan musolla.
“Individu yang hadir ke masjid, surau dan musolla dikehendaki membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka.
“(Dan) individu yang bergejala diminta menangguhkan dari menghadiri sebarang aktiviti di masjid, surau dan musolla sehingga tahap kesihatan dapat dipastika demi menjaga kesejahteraan jemaah yang lain,” katanya.
Tambah Shahzihan, satu ketetapan lebih terperinci mengenai perkara tersebut yang dikuatkuasakan bermula 1 April ini akan dikeluarkan JAIS.
Menurutnya, ketetapan terperinci itu akan dikeluarkan kepada pentadbir masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor dalam masa terdekat.
Sumber: JAIS