Seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun secara tidak sengaja telah menembak mati sepupunya yang berusia 14 tahun ketika ‘Live di Instagram, lapor Daily Star.
Kanak-kanak tersebut, Paris, 12, dan sepupunya, Kuaron Harvey,14, membuat siarang langsung (live) di Instagram kira-kira jam 2 pagi pada Jumaat lalu di St Louis, Missouri semasa majlis hari jadi.
Bagaimanapun ketika siaran langsung tersebut, Paris dilapor menembak Kuaron menggunakan sepucuk pistol sebelum menembak dirinya sendiri.
Polis memaklumkan kepada St Louis Post-Dispatch bahawa kedua-dua mereka tidak memberi sebarang tindak balas pada jam 2.07 pagi.
Lalu akhirnya mereka berdua disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Polis pada mulanya menyangka kes tersebut adalah pembunuhan-bunuh diri yang membawa maut, namun keluarga mereka enggan percaya.
“Shinise Harvey, ibu kepada Paris memberitahu bahawa itu bukanlah kes pembunuhan atau bunuh diri, tapi ia adalah kemalangan yang aneh,” lapor Daily Star.
Sementara itu, nenek Paris, Susan Dyson melihat video tersebut dan berpendapat bahawa ia tidak menunjukkan situasi mereka bertengkar atau bergaduh sesama sendiri.
“Mereka bermain dengan pistol yang tidak sepatutnya dan saya rasa ia berlaku dengan tidak sengaja,” jelasnya, lapor Daily Star.
Memetik Daily Star, dia juga menjelaskan bagaimana mereka dibesarkan bersama-sama di rumah Paris dan menggelarkan antara satu sama lain dengan panggilan abang-kakak.
“Mereka berada di majlis hari jadi sepupu, (kemudian) masuk ke bilik air untuk merakamkan diri mereka di hadapan cermin ketika kejadian itu berlaku.
“Paris dilihat mencapai pistol dan kedengaran bunyi tembakan pertama, menunjukkan kedua-dua tembakan mungkin tidak disengajakan,” lapor Daily Star.
Perkara tersebut masih dalam siasatan polis dan sebarang keputusan masih belum diumumkan setakat ini.
BACA JUGA: Polis Tahan Bapa 3 Kanak-Kanak Buat Aksi Bahaya Dalam Kereta
Sumber: Daily Star