Ikon fesyen terkenal, Wak Doyok baru-baru ini menjadi ‘hero’ apabila dia berjaya menyelamatkan seekor anak kucing yang dipercayai tersesat dalam enjin keretanya.
Menerusi satu perkongsian rakaman video yang dimuat naik ke laman Instagramnya, kejadian pilu itu berlaku di tepi jalan pada waktu malam yang diselangi hujan renyai.
Dalam video itu, jelas kelihatan Wak Doyok berhenti di tepi jalan dan membuka bonet enjin keretanya, dipercayai gara-gara terdengar rintihan sayu si comel tersebut.
“Kadang-kadang bukan kita sengajakan. Cuma tidak perasan sahaja. Anak kucing berteduh dalam enjin. Mungkin kesejukan mencari tempat berteduh.
“Nasib aku perasan dia menjerit-jerit kepanasan. Kalau tidak rentung kucing tu,” katanya menerusi ruangan kapsyen pada video berkenaan.
Video berdurasi hanya beberapa saat sahaja itu telah ditonton ramai dan meraih lebih 20,000 tanda ‘suka’, selain turut dihujani ratusan komentar daripada pengikut dan rakan artis.
Rata-rata mereka turut berasa terharu dengan kebaikan Wak Doyok yang sanggup berhujan di tepi jalan demi untuk menyelamatkan nyawa si comel yang tidak berdosa itu.
Antara rakan artis terkenal yang memberi komentar adalah Faizal Tahir yang memberikan komentar bersimbol tanda ‘love’.
Selain itu, artis pelawak Ajak Shiro juga turut memberi komentar berbaur kata-kata semangat yang berbunyi, “Cenggini haa waakk” sambil dituruti simbol emoji ‘tepuk tangan’.
Malah ramai juga pengikutnya yang lain turut memberi komentar serupa. Antaranya Jaynazif_official yang menulis, “Steady ! Wak dah selamatkan nyawa. Alhamdulillah.”
Ada juga peminat lain yang menggunakan nama akaun r.e.p.e.x.o.t.i.c. yang memberi komentar seperti “Sanggup redah hujan untuk ambik kucing, respect..”.
Namun ada juga kebanyakan warganet yang tertanya-tanya apakah nasib si anak kucing tersebut; apakah ia berjaya ditemui atau sebaliknya.
Sumber: Instagram Wak Doyok