Siakap Keli
Gambar: Facebook

Fenomena Hujan Batu Dilapor Landa Kawasan Sekitar Ipoh Sebentar Tadi

Satu kejadian fenomena hujan batu dipercayai telah berlaku di Ipoh, Perak sebentar tadi. Ia ditambah dengan keadaan hujan lebat yang melanda sekitar pukul 4.00 petang.

Menerusi perkongian beberapa orang pengguna media sosial, beberapa kawasan seperti di Medan Gopeng turut dilanda angin kencang.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut mengutip hujan batu tersebut bagi melihatnya dengan lebih jelas.

Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan bahawa hampir seluruh negara diramal bakal dilanda hujan lebat dan ribut petir sehingga malam ini.

Sehingga jam 7.00 malam dan 8.00 malam ini, beberapa daerah di Perak akan dilanda cuaca buruk itu seperti di Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang, Muallim, Kerian, Larut, Matang, Selama dan Hulu Perak.

Sementara itu, beberapa kawasan di Lembah Klang turut dilanda hujan lebat dan angin kencang pada petang tadi.

Memetik laporan Bernama, hujan lebat dan angin kencang yang berlaku kira-kira 4 petang tadi turut mengakibatkan pokok tumbang di sekitar Jalan Lapangan Terbang-Maju Rapat serta Gunung Rapat sehingga menghalang lalu lintas.

BACA JUGA: Fenomena Hujan Batu Dilapor Landa Beberapa Kawasan Di KL Sebentar Tadi

Malah, tinjauan Bernama juga mendapati beberapa khemah di bazar Ramadan di Medan Gopeng turut mengalami kerosakan akibat dipukul ribut.

Selain itu, atap rumah di sekitar Sungai Rokam juga diterbangkan angin dan terdapat sebuah rumah di sekitar Greentown mengalami kerosakan akibat dihempap pokok.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata pokok tumbang berlaku di sekitar Ipoh, Gopeng, Kampar dan Bidor.

Pokok itu merintangi jalan, serta mengakibatkan beberapa buah rumah dan kereta rosak.

Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dalam kesemua kejadian tersebut.

Beberapa hari lalu, fenomena hujan batu juga dilapor telah melanda beberapa kawasan di ibu negara termasuk di Bukit Bintang.

Sama seperti di Ipoh, hujan batu tersebut berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang.

Pun begitu, fenomena hujan batu ini tidak asing di Malaysia.

Sebelum ini, turut tular di media sosial mengenai kejadian yang sama, cuma ia berlaku di beberapa negeri yang lain.

Sumber: Facebook, Bernama

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.