Siakap Keli

Kolaborasi Strategik FGV BERNAS Pemangkin Subsektor Padi Dan Beras Negara Lebih Kompetitif Dan Berdaya Saing

TANJUNG KARANG, 29 Mac 2022 – Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Kolaborasi (MOC) Antara Pihak FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta Pelancaran Beras Wangi Malaysia yang diberi nama “SAJI Aroma” khusus dari ladang SMART SBB di Perak dan Selangor, bakal melakar sejarah buat julung kalinya menyaksikan kolaborasi strategik antara dua (2) buah Syarikat Peneraju di bawah Program SMART SBB Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam ucapannya berkata sektor pertanian diunjur berkembang sebanyak 3.8% setahun dalam tempoh RMKe12 dan menyumbang 7% kepada KDNK pada tahun 2025. Dalam hubungan itu sasaran pertumbuhan sektor agromakanan yang dijangka berkembang pada kadar 4.5% setahun dalam tempoh RMKe-12 bakal meletakkan sektor pertanian antara penyumbang terpenting kepada KDNK negara.

Ujarnya selari dengan sasaran meletakkan sektor pertanian sebagai antara penyumbang penting ekonomi negara, pelbagai program dan pendekatan baharu telah dirangka merentasi semua subsektor agromakanan termasuk Padi dan Beras bagi meningkatkan pengeluaran dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi sepanjang masa.

MAFI katanya telah dan sedang melaksanakan program SMART SBB yang disertai oleh Syarikat-Syarikat Peneraju yang berminat untuk membangunkan kawasan-kawasan penanaman padi secara berperingkat, menerusi pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan perkhidmatan dan sebagainya. Penyertaan pesawah dalam program ini adalah secara sukarela dan tiada sebarang bentuk paksaan.

Menurut Ronald lagi kadar Tahap Sara Diri atau SSL beras negara pada ketika ini berada pada paras sekitar 63 peratus. Ini antara faktor yang menyebabkan negara masih bergantung kepada bekalan beras import.

Tambahnya lagi, keprihatinan kementerian terhadap isu sekuriti makanan negara juga bersandarkan kepada fakta bahawa populasi penduduk negara akan terus meningkat untuk tempoh sepuluh tahun akan datang, seterusnya, akan menyebabkan peningkatan risiko pengeluaran sumber makanan tempatan akibat faktorfaktor di luar kawalan seperti perubahan cuaca dan iklim serta penyakit tanaman. Keperluan kepada bekalan padi bagi pemprosesan beras domestik juga dijangka akan terus meningkat dan pada masa yang sama trend pengimportan beras dari luar negara perlu dikurangkan bagi menjamin sekuriti bekalan makanan negara.

Dalam hal ini, Kerajaan melalui MAFI melihat terdapat keperluan untuk meningkatkan produktiviti padi di peringkat domestik. Dalam konteks ini MAFI telah pun melaksanakan beberapa program berkaitan sawah berskala besar di seluruh negara, dan sudah tiba masanya pihak swasta iaitu pemain-pemain industri turut diberikan peluang dalam memainkan peranan menerajui subsektor padi dan beras bagi menyuntik semangat dan corak baharu kepada industri makanan.

Melalui pendekatan-pendekatan baharu yang memanfaatkan sumber modal pembiayaan swasta semaksimum mungkin, MAFI berhasrat untuk menarik lebih banyak lagi pelaburan swasta bagi menjadikan subsektor padi dan beras negara lebih dinamik dan berdaya saing. Inisiatif Program SMART SBB yang telah diperkenalkan awal tahun 2021, dan telah disertai oleh sembilan belas (19) buah syarikat peneraju sehingga kini.

Kementerian berhasrat untuk membangunkan kawasan penanaman padi dengan sasaran seluas 300,000 hektar secara berperingkat, dengan menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional kepada 7 metrik tan dalam tempoh RMKe-12 dan meningkatkan pendapatan golongan sasar program iaitu para pesawah.

Pada masa ini, MAFI juga sedang dalam perancangan untuk berkolaborasi dengan para penyelidik tempatan bersama-sama sokongan penuh pemain industri, untuk mendalami dan memperluas kajian-kajian saintifik berkaitan penggunaan beras wangi yang dilihat bakal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia sebagai makanan ruji. Usaha membangunkan penanaman padi wangi MRQ76 secara berskala besar dilihat akan melengkapkan rantaian nilai dalam subsektor padi dan beras negara.

Pendekatan SMART SBB ini juga dapat diperluaskan lagi kepada tanaman-tanaman lain termasuk penanaman jagung bijian yang mempunyai permintaan dan kebergantungan import yang tinggi.

MAFI sedang mengkaji satu dasar khusus yang baharu bagi pembangunan industri jagung bijian untuk mengurangkan import makanan ternakan yang merangkumi pendekatan berskala besar dan mengalakkan penglibatan sektor swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kolaborasi strategik antara FGV dan BERNAS menjadi contoh kepada syarikat-syarikat peneraju yang lain memandangkan pelaburan swasta ini dilihat hadir tepat pada masanya bagi menjadikan subsektor padi dan beras negara lebih kompetitif dan berdaya saing di sepanjang rantaian industri.

Antara kandungan utama MOC adalah pembangunan bersama projek SMART SBB untuk penanaman beras wangi di semua lokasi yang sesuai serta berpotensi di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak serta pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan lepas tuai oleh BERNAS bagi pemprosesan padi wangi yang meliputi aktiviti pengeringan dan pengilangan padi serta pembungkusan beras.

Dalam majlis tersebut Ronald turut menyampaikan Anugerah Pesawah Jaya FGV 3FR yang merangkumi Anugerah Hasil Tertinggi sebanyak 8.53 MT/ha dengan jumlah Pendapatan Semusim RM40,134, Anugerah Hasil Purata melebihi sasaran sebanyak 7.37 MT/ha dengan jumlah Pendapatan Semusim RM27,881 dan Anugerah Hasil Purata Terbaik keluasan lebih 5 ha sebanyak 6.00 MT/ha dengan jumlah Pendapatan Semusim RM90,945. Kesemua pemenang anugerah menerima RM1,000 masing-masing.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar MAFI, Puan Azah Hanim Ahmad

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.