Siakap Keli
pemain bola sepak diratah pirana
Kredit: Daily Star

Mayat Pemain Bola Sepak Ditemui Di Sungai, Hanya Tinggal Rangka Akibat Diratah Pirana

Mayat seorang pemain bola sepak di Brazil ditemui tinggal rangka dipercayai akibat diratah ikan pirana di sungai Rio Negro di Educandos, baru-baru ini.

Menurut Daily Star, mayat pemain tersebut, Luiz (bukan nama sebenar), 21, ditemui kira-kira 11 jam selepas ibunya mengesan kehilangannya.

Hasil penemuan bomba mendapati, tubuh Luiz hanya tinggal rangka yang berbaki cebisan daging yang tersangkut dalam jaring ikan.

Difahamkan, Luiz terjun ke dalam sungai tersebut adalah kerana dikejar polis gara-gara disangka terlibat dengan kegiatan jenayah pada awalnya.

Hal ini kerana ketika itu, pihak polis sedang mengejar sekumpulan penjenayah di kawasan berhampiran sekitar situ.

Lalu tidak semena-mena, Luiz yang ketika itu baru pulang dari perlawanan bola sepak juga turut dikejar kerana disangka penjenayah.

Ketika sesi kejar-mengejar itu, satu tembakan dilepaskan ke arahnya sebagai ugutan sebelum dia dipaksa terjun ke sungai tersebut.

Malangnya disebabkan tidak pandai berenang, Luiz terpaksa bergelut di dalam air untuk terus bertahan menyelamatkan diri.

Detik cemas Luiz itu sempat disaksikan oleh seorang individu berhampiran situ, namun polis tersebut didakwa menghalangnya untuk selamatkan pemain muda itu.

Menurut ibunya, Luiz dilapor telah hilang kira-kira 11 jam lamanya sebelum mayatnya ditemui di sungai itu dalam keadaan tinggal rangka.

“Salah seorang pegawai polis memaksanya untuk terjun ke sungai walaupun sudah dimaklumkan bahawa dia tidak boleh berenang.

“Lalu polis itu melepaskan tembakan ke arahnya sebagai tanda paksaan (dipercayai untuk menyerah diri),” katanya, memetik Daily Star.

Tambah wanita itu lagi, tindakan seorang individu (saksi) yang cuba menyelamatkan nyawa anaknya menggunakan sampan itu turut dihalangi polis.

Bagaimanapun, menurut laporan media, segala bermula ketika pihak polis mengejar sekumpulan individu yang disyaki melakukan kegiatan jenayah.

Namun ketika itu, Luiz yang ada di lokasi kejadian turut melarikan diri sebelum terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Difahamkan, pihak polis telah mengarahkan keluarganya untuk membuat aduan kepada Sistem Keselamatan Awam, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri berhubung kes tersebut.

Terdahulu, empat orang telah dilaporkan maut dibaham pirana di Sungai Paraguay, Amerika Selatan.

Manakala 20 yang lain cedera selepas diserang ikan pirana dalam beberapa kejadian yang mengejutkan.

Kematian pertama menjelang tahun baru berlaku pada hari Ahad yang lalu melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang hilang ketika sedang mandi di sungai tersebut.

Mayat mangsa ditemui lebih kurang 45 minit kemudian dengan beberapa bahagaian badannya didapati telah hilang dan dimakan oleh ikan pirana.

Serangan kedua pula berlaku kepada lelaki berusia 49 tahun yang dilaporkan hilang di sungai tersebut selama satu jam sebelum ditemui dalam keadaan wajah yang dipenuhi kesan gigitan.

Dua individu lain pula dilaporkan terbunuh dengan kesan gigitan pada badan di Sungai Tebicuary, Villa Florida di Misiones.

BACA JUGA: Mandi Sungai Berakhir Tragedi, 4 Maut Dan 20 Cedera Diserang Ikan Piranha

Sumber: Daily Star

 

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.