Berikutan permohonan Pengeluaran Khas yang boleh dibuat tidak lama lagi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memaklumkan pembayaran dibuat dalam satu bayaran sahaja.
Menerusi infografik yang dimuatnaik di Facebook KWSP sebentar tadi, pembayaran Pengeluaran Khas secara ‘single payment’ akan dibuat mulai 20 April 2022.
Selain itu, orang ramai perlu mengetahui beberapa perkara tentang amaun pengeluaran dan kaedah bayaran untuk melancarkan urusan pemohon.
Jumlah amaun pengeluaran adalah minimum RM50, manakala maksimum pula adalah sebanyak RM10,000 dan ia tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2. Jika tidak mencukupi, Akaun 1 akan digunakan.
Bagaimanapun, anda perlu meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam akaun satu.
Tidak cuma itu, pembatalan permohonan dan pindaan amaun tidak dibenarkan.
Justeru bayaran Pengeluaran Khas diberikan keutamaan berbanding pengeluaran lain.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah memaklumkan bahawa kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000.
Ia dilakukan bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19, lapor Bernama.
Pun begitu, beliau juga merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
Beliau turut berharap mereka membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan.
Semak empat perkara sebelum buat pengeluaran khas KWSP
Orang ramai perlu menyemak beberapa perkara penting terlebih dahulu bagi melancarkan urusan permohonan.
Anda perlu memastikan nombor telefon bimbit terkini telah berdaftar dengan KWSP dan seterusnya menyemak baki simpanan KWSP.
Tidak cuma itu, nombor akaun bank juga perlu dipastikan berada dalam keadaan aktif sama ada bagi akaun simpanan atau semasa.
Paling penting, anda haruslah memastikan akaun KWSP itu adalah di atas nama ahli sendiri dan bukan akaun bersama atau akaun syarikat.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion.
Ia melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lepas.
Tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang diperkenalkan sebagai langkah sementara.
Langkah tersebut membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sumber: KWSP
BACA: Teringin ‘Baby Girl’, Doktor Kongsi Tips Untuk Bakal Ibu & Ayah