Siakap Keli
persekutuan bola sepak rusia
Gambar: TASS

Persekutuan Bola Sepak Rusia Pertimbang Tinggal UEFA & Beralih Ke AFC

Persekutuan bola sepak Rusia dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Langkah itu dipercayai diambil selepas kelab dan pasukan kebangsaannya dikenakan sekatan berikutan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.

Memetik laporan Daily Mail, UEFA dan badan induk dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah ‘mengharamkan’ pasukan Rusia daripada menyertai sebarang kejuaraan pada hujung Februari lalu.

Difahamkan, kelab dari Liga Perdana Rusia tidak akan dapat bermain dalam Liga Juara-Juara, Liga Europa atau Liga Persidangan Europa selama-lamanya.

Menurut laporan, skuad bola sepak kebangsaan lelaki Rusia telah terkeluar daripada kelayakan ke Piala Dunia tahun ini dengan Poland menyerahkan laluan ke perlawanan akhir play-off pada malam Selasa.

Manakala, pasukan kebangsaan wanita pula mungkin akan disingkirkan daripada Kejohanan Eropah musim panas ini.

Bagaimanapun, sumber berita di Rusia mendakwa bahawa kesatuan bola sepak negara itu mungkin sedang mempertimbangkan untuk beralih daripada UEFA kepada AFC.

BACA: Pasukan Bola Sepak Rusia Dilarang Sertai Piala Dunia

Laman web Championat juga dilaporkan meminta personaliti berprofil tinggi untuk membahaskan kebaikan dan keburukan idea itu.

Jika ia benar-benar berlaku, Rusia akan beralih ke kejohanan kelayakan Asia untuk menyertai Piala Dunia dan bersaing di Piala Asia.

Pun begitu, seperti yang diakui laporan itu, pertukaran tersebut perlu disahkan oleh persekutuan Asia yang lain dan mungkin prosesnya agak sukar.

Sementara itu, bekas pemain sayap Manchester United, Andrei Kanchelskis berkata dia tidak pasti sama ada langkah itu boleh dilakukan.

“Konfederasi Bola Sepak Asia? Saya tidak tahu sama ada ini boleh dilakukan.

“Walaupun ini semua di peringkat perbincangan, saya tidak fikir akan ada penggantungan yang serius daripada UEFA.

“Sememangnya, kedua-dua pasukan kebangsaan Rusia dan kelab kami perlu meneruskan dan bermain tidak kira bagaimana keadaan berlaku.

“Jika Rusia mempunyai pilihan untuk menyertai AFC, mengapa tidak?

“Saya bekerja di Asia, bermain di Arab Saudi. Adalah menarik untuk menonton perlawanan sebegitu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa negara pernah bertukar konfederasi seperti Kazakhstan yang pada asalnya merupakan ahli AFC sebelum menyertai UEFA pada 2002.

Selain itu, Australia pula meninggalkan persekutuan Oceania untuk bermain di Asia pada 2005.

Sumber: Daily Mail

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.