BACHOK – Disyaki cabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, seorang lelaki dilaporkan telah ditahan polis, semalam.
Memetik laporan Kosmo, lelaki yang berusia 20 tahun itu dipercayai telah mencabul kanak-kanak tersebut di tepi tali air sebanyak dua kali, sejak seminggu lalu.
Difahamkan, ibu mangsa yang berusia 33 tahun telah membuat laporan kepada pihak polis setelah mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya daripada anak saudaranya yang berusia tujuh tahun.
Susulan laporan tersebut, polis dipercayai telah menahan suspek di rumahnya.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata suspek telah datang ke rumah nenek kanak-kanak itu semasa mangsa sedang bermain di kawasan berkenaan minggu lalu.
“Siasatan mendapati, suspek dipercayai memegang beberapa anggota badan dan kemaluan mangsa.
“Tidak cukup dengan itu, suspek melakukan perbuatan sama selepas mengajak mangsa ke kawasan tali air semalam.
“Mangsa kemudian menceritakan kejadian tersebut kepada sepupunya sebelum kanak-kanak itu terus memaklumkan peristiwa berkenaan kepada ibu mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo.
BACA JUGA: Lelaki Didakwa ‘Cabul’ Gadis Bawah Umur, Sempat Sorokkan Mangsa Dalam Almari Takut ‘Kantoi’ Dengan Isteri
Siasatan juga mendapati mangsa tidak mengenali suspek namun pernah melihat lelaki itu di rumah neneknya kerana berkawan dengan anak saudara ibunya.
Tambahnya lagi, mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
Pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, siasatan bagi kes itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sumber: Kosmo