Siakap Keli
KWSP
Gambar via Bernama

Adakah Wajib Keluarkan Zakat Dari Pengeluarkan Khas KWSP?

Baru-baru ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan senarai ahli yang layak mengeluarkan simpanan mereka melalui Pengeluaran Khas seperti yang diumumkan Perdana Menteri tempoh hari.

Seperti yang kita tahu, ahli yang mengeluarkan amaun tertentu daripada KWSP perlu menzakatkan sebahagian daripada jumlah wang tersebut. Namun, melalui Pengeluaran Khas ini, adakah perlu atau wajib ahli beragama Islam mengeluarkan zakat ke atasnya?

Menurut KWSP, pada umumnya, ahli KWSP yang beragama Islam perlu bertanggungjawab mengeluarkan zakat sebanyak 2.5 peratus merujuk kepada simpanan yang telah memenuhi dua syarat.

Syarat pertama adalah sempurna milik (milkut taam) iaitu simpanan yang boleh dikeluarkan dan digunakan tanpa sebarang sekatan (haq tasarruf kaamil).

Manakala syarat kedua pula, jumlah simpanan mestilah mencapai nasab berdasarkan nilai semasa 85 gram emas yang ditentukan oleh pihak berkuasa zakat di sesebuah negeri.

“Namun, zakat boleh dikecualikan ke atas apa-apa jumlah simpanan yang dikeluarkan dan digunakan bagi tujuan kelangsungan hidup atau perbelanjaan keperluan asas diri sendiri atau tanggungannya (hajah asliyah) seperti tempat tinggal, makan dan minum, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan atau membayar hutang.

“Ahli juga dinasihatkan untuk mengambil kira semua pengeluaran dalam tempoh setahun (haul) yang telah memenuhi syarat-syarat kewajipan zakat dan merujuk kepada pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing,” jelas KWSP.

Boleh ke simpanan dalam Akaun Emas digunakan untuk Pengeluaran Khas?

Selain itu, KWSP menegaskan bahawa simpanan dalam akaun Emas tidak boleh digunakan untuk Pengeluaran Khas yang akan mula dibuka pada 1 April nanti.

“Akaun Emas merupakan caruman ahli selepas umur 55 tahun. Ahli layak untuk mengeluarkan simpanan tambahan ini setelah berumur 60 tahun. Ini bertujuan untuk memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli pada waktu tersebut,” jelasnya lagi.

Difahamkan juga, pihak KWSP akan lakukan penggantian semula dan juga tambahan sebanyak 20% dari amaun yang dikeluarkan.

Rasional penggantian semula serta tambahan 20 peratus

Memetik KWSP, rasional penggantian semula ini bertujuan untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang cukup selepas persaraan.

“Tambahan 20 peratus yang ditetapkan adalah berdasarkan anggaran kehilangan/kerugian dividen (opportunity loss) ke atas jumlah pengeluaran tersebut dengan purata 5 peratus dividen tahunan kerana ahli dijangka akan mengambil masa antara empat hingga enam tahun bagi mengembalikan amaun pengeluaran sepenuhnya.

“Ini bertujuan untuk memastikan simpanan dapat dibina semula dengan cepat dan memanfaatkan gandaan dividen, selain mengimbangi antara keperluan mendesak semasa dan simpanan masa hadapan,” tambah KWSP.

Untuk maklumat lanjut dan persoalan-persoalan lain anda boleh lihat di sini.

BACA JUGA: Pengeluaran Khas KWSP Dibuat Dalam Satu Bayaran Sahaja

Sumber: KWSP

 

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.