Siakap Keli
isu pensyarah uitm
Gambar hiasan via Bernama

Isu Pensyarah Tular: Ini Penjelasan & Tindakan UiTM

Universiti Teknolgi Mara (UiTM) telah meneliti isu tular melibatkan seorang pensyarah dan satu tindakan pantas diambil berhubungan insiden itu.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor menegaskan sedemikian menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi.

“Susulan penularan video di media sosial membabitkan tindakan seorang pensyarah UiTM yang telah mengeluarkan komen sensitif, pihak universiti telah meneliti isu tersebut dan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.

“UiTM juga bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik UiTM dengan sengaja mahupun tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, tambah Roziah, universiti itu amat mengutamakan kebajikan seluruh warganya khususnya pelajar dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi persekitaran pendidikan yang kondusif.

Jelasnya, ia bertepatan dengan kewujudan UiTM untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti.

“Sememangnya dan sewajarnya UiTM membantu golongan B40. Justeru, segala kemudahan dan pembiayaan ada disediakan melalui dana-dana tertentu oleh UiTM.

“UiTM amat memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

“Pihak universiti juga telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan para pelajar yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan dari pusat zakat serta dari pihak alumni,” jelasnya.

Sehubungan itu, Roziah juga menyeru kepada para pelajar yang berhadapan dengan sebarang masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran.

Menurutnya lagi, untuk merealisasikan keberkesanan pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang terbaik, semua pihak perlu berganding bahu dari semua aspek.

Sumber: UiTM Official

 

Faiz Mustafa