Mungkin ada sesetengah ibu bapa terfikir, apakah cara terbaik didik anak supaya berdisiplin dalam berbelanja di kedai?
Sudah menjadi lumrah ibu bapa melayan kerenah anak-anak yang bermacam-macam ragam, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai anak ramai.
Tambahan pula, mereka sedang menjalani proses membesar dalam lingkungan usia tiga ke lima tahun. Bila bawa pergi kedai atau pasaraya, mereka mungkin akan minta untuk dibelikan bermacam barangan terutama sekali mainan.
Menerusi laman Facebook Mai Izyani, dia kongsikan bagaimana tips menarik untuk mendidik anak-anak dari meminta-meminta dan berdisiplin apabila berkunjung di sebuah kedai.
“Saya ajar Dhuha Mardhiyah untuk jadi anak kecil yang berdisiplin ketika ke kedai.
“Pesanan ‘hanya dua barang’ ini bermula sejak usia dia dua tahun,” jelasnya.
Untuk penerangan yang lebih lanjut dan terperinci, anda boleh baca perkongsian beliau yang telah kami sertakan di bawah, semoga bermanfaat.
“Hanya dua barang….”

Begitulah. Saya ajar Dhuha Mardhiyah untuk jadi anak kecil yang berdisiplin ketika ke kedai. Pesanan “hanya dua barang” ini bermula sejak usia dia dua tahun. Biarkan dia pilih barang, dan dia tahu dia hanya boleh ambil dua barang sahaja untuk dibayar. Tak boleh minta lebih. Dan barang itu masih perlu kelulusan saya. Boleh atau tidak. Jika tidak, tidaklah.
Dan sepanjang proses itu, saya ajar dia hulurkan duit pada cashier. Ok dia belajar ‘barang itu boleh diambil bawa balik lepas bayar.’ Semua kena guna duit. Ingat lagi masa tu perkataan duit pertama yang dia sebut, “Satu PINGGIT.” Ye, pinggit, comel sangat.
Kemudian saya mula berikan beg comel untuk dia menabung. Duit-duit orang hulur saya ajar masukkan dalam tu. Dari situ lah, setiap kali keluar, dia akan bawa beg tangan dia sendiri untuk bayar dua barang yang dia nak beli. Walaupun ikut suka dia sahaja nak hulur berapa pada cashier. Barang lima ringgit pun dia letak ‘satu pinggit.’
Sekarang dia empat tahun. Tapi advance cara dia pikir, bila sesekali dia tertinggal beg tangan, dia cakap “Mak… Dhuha pinjam dulu duit mak. Balik rumah Dhuha byar.” Hahaha.
Ceritanya setiap kali keluar dan berhenti kedai, dia tetap mahu beli barang. Tapi hanya dua barang.
Alhamdulillah nenek, makcik-makcik dia kalau bawa dia keluar rasa senang dengan dia. Sebab tak suka-suka nak meminta atau merengek. Paksa mahu itu ini. Buat seperti apa yang mak pesan. Kalau kata tidak, tidaklah dia.
Begitulah. Cara saya ajarkan Dhuha tentang nilai wang dan keinginan. Jangan suka-suka mendesak meminta-minta dengan kerenah seorang kanak-kanak kecil ketika di kedai.
Ini, hanyalah pengalaman peribadi. Ada kebaikan yang boleh diambil untuk dipraktikkan, maka saya berkongsi.
Sumber: Mai Izyani