Sebuah keluarga kaya di Perancis yang didakwa terlalu obses dengan teori konspirasi COVID-19 telah terjun seorang demi seorang dari tingkat tujuh apartmen mereka di bandar Montreux, Switzerland selepas mengelak dari ditahan polis.
Memetik laporan Daily Mail, suami isteri yang berusia 40 dan 41 tahun serta kakak kembarnya dan anak perempuan pasangan itu telah ditemui mati di bahagian bawah bangunan tujuh tingkat tersebut pada Khamis lalu.
Walau bagaimanapun, anak lelaki mereka yang berusia 15 tahun dilaporkan terselamat tetapi berada dalam keadaan koma di hospital.
Polis wilayah Vaud berkata, mereka percaya tindakan itu adalah tindakan ‘bunuh diri secara beramai-ramai’ dengan bukti yang menunjukkan semua mangsa melompat dari balkoni secara bergilir-gilir.

Tiada orang lain yang terlibat dalam kematian mereka
Polis percaya bahawa tidak ada orang lain yang terlibat dalam kematian keluarga itu.
Kesemua mangsa dipercayai telah terjun ke bawah bangunan setinggi 65 kaki itu sehingga menyebabkan kesemua mereka meninggal dunia.
Tindakan itu dilakukan beberapa saat selepas polis berjaya mendapatkan waran tangkap ke atas si suami.
Difahamkan, polis ingin menangkapnya kerana dia dipercayai membuat keputusan untuk menyekolahkan salah seorang anaknya di rumah.
Pihak polis menyatakan bahawa insiden itu terjadi selepas dua orang pegawainya tiba di apartmen tersebut bagi menahan bapa kepada keluarga berkenaan.
Pegawai polis dilaporkan mengetuk pintu dan terdengar suara orang menyahut tetapi apabila mereka berkata ingin melakukan tangkapan, apartmen itu tiba-tiba menjadi sunyi.
BACA JUGA: Bapa Dilaporkan Maut, Dipercayai Cuba Selamatkan Anak Terjun Dari Bumbung Bangunan 25 Tingkat
Selepas gagal berunding dengan keluarga itu, pegawai polis mula beredar dari situ.
Sejurus sebelum jam tepat menunjukkan waktu 7 pagi, kesemua lima ahli keluarga berkenaan telah melompat dari balkoni dalam tempoh lima minit.
Sebuah anak tangga ditemui di balkoni itu tetapi tiada tanda-tanda pergelutan.
“Tiada saksi semasa atau sebelum kejadian. Dua pegawai polis yang hadir di tempat kejadian dari pukul 6.15 pagi dan penduduk yang lalu lalang di kaki bangunan juga tidak mendengar sedikit pun bunyi atau tangisan yang datang dari apartmen itu.
“Siasatan teknikal yang dijalankan turut tidak menunjukkan tanda-tanda mengenai tindakan sedemikian,” kata pihak polis.
Berminat dengan teori konspirasi
Tambah pihaknya lagi, keluarga itu sangat berminat dengan teori konspirasi dan teori kelangsungan hidup.
Mereka hidup dengan pelbagai simpanan makanan yang tersusun dengan baik.
Menurut laporan, hanya adik kembar si isteri sahaja yang bekerja di luar rumah.
Manakala yang lain termasuk anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun tidak bersekolah dan tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa tempatan.

“Semua elemen ini menunjukkan mereka takut pihak berkuasa campur tangan dalam kehidupan mereka,” kata polis.
Sementara itu, jiran-jiran juga mendedahkan bahawa keluarga itu senyap dan suka menyendiri.
“Kami tidak mendengar apa-apa dari rumah mereka, si suami tidak pernah bertanya khabar dengan jiran-jiran.
“Dia juga sering memesan banyak bungkusan hampir setiap hari,” kata salah seorang jiran.
Sumber: Daily Mail