MACHANG – Seorang lelaki ditemukan lemas ketika sedang bermandi-manda bersama dua rakannya di Air Terjun Jeram Linang, Banggol Judah, petang tadi .
Memetik laporan Sinar Harian, mayat mangsa yang berusia 35 tahun dilaporkan tenggelam di kawasan air terjun berkenaan sekitar jam 3.30 petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan (DSP) Ganti Jimmy, misi mencari dan menyelamatkan mangsa ketika itu masih sedang berjalan sebelum mayat lelaki itu didapati timbul ke permukaan.
“Salah seorang rakan mangsa telah menghubungi Balai Polis Machang.
“Selepas itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang telah membuat tindakan untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal.
“Mangsa kemudian telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Machang,” kata Jimmy.
Ketika kejadian, rakan mangsa dikatakan telah mencuba untuk menyelamatkan lelaki berkenaan namun tidak berjaya kerana keadaan air yang terlalu dalam.
Tubuh mangsa dijumpai kira-kira jam 4 petang dan terus dibawa naik ke darat. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Machang untuk tindakan susulan.
Sumber: Sinar Harian