Siakap Keli

Reezal Merican Fasih Berbual Dalam Bahasa Arab Di Dubai

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencuri tumpuan apabila dilihat fasih berbahasa Arab ketika melakukan lawatan kerja.

Menerusi satu video, beliau pada ketika itu dilihat rancak berbual dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Kumpulan Imdaad dan pemilik Farz Material Recovery Facility (MRF), Sheikh Jamal Abdulla Lootah.

Perbualan mereka itu disaksikan oleh beberapa orang lagi delegasi dari KPKT.

Dalam satu perkongsian di Facebook, beliau berkata lawatan kerja itu merupakan salah satu agenda susulan daripada pelancaran Minggu Ekonomi Kitaran di Ekspo Dubai 2020.

Reezal turut berkata kunjungan ke fasiliti tersebut adalah bagi melihat potensi teknologi terkini dalam pengumpulan, pengasingan dan proses pembungkusan bahan terbuang untuk dihantar kepada pembeli bahan bagi menghasilkan produk baharu.

“Teknologi ini juga berpotensi untuk menghasilkan kitaran ekonomi industri hiliran yang bernilai tinggi kepada pasaran dan memanfaatkan rakyat,” katanya.

Menurutnya, ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membawa keupayaan teknologi kitar semula seperti MRF ke Malaysia.

Ia bersesuaian dengan aspirasi untuk memastikan Malaysia mampu mencapai matlamat di bawah kerangka Sustainable Development Goals (SDG) yang dibentangkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Sekaligus, ia merealisasi sasaran peningkatan kadar kitar semula negara kepada 40 peratus menjelang 2025.

“Ini termasuklah inisiatif-inisiatif seperti fasiliti waste to energy yang menjadi sebahagian daripada model Ekonomi Kitaran yang mensasarkan pendekatan pemerolehan semula sisa (waste recovery),” katanya.

Tambahnya lagi, KPKT akan melihat dengan teliti proses implementasi sistem kitar semula bahan terbuang di Farz MRF di negara ini.

Beberapa hari lalu, beliau telah merasmikan Minggu Ekonomi Kitaran itu yang berlangsung dari 27 hingga 31 Mac di Astaka Malaysia.

Model Ekonomi Kitaran atau Circular Economy merupakan pendekatan menyeluruh lagi strategik yang sedang diusahakan oleh Kerajaan melalui peranan KPKT serta KASA.

Sumber: Reezal Merican Naina Merican

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.