Bagaimanakah sebenarnya proses pengumuman tarikh awal puasa dan raya yang biasa diumumkan di kaca televisyen setiap tahun?
Tidak lama lagi Ramadan akan membuka tirai dan semua umat Islam di seluruh dunia akan mula melakukan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain seperti solat tarawih, tadarus al-Quran dan sebagainya.
Namun pernahkah kita terfikir, setiap kali pengumuman awal Ramadan dibuat di siaran televisyen, bagaimanakah prosedur yang digunakan sebelum ia diumumkan?
Bagaimanakah juga cerapan akhir anak bulan yang dibuat bagi memastikan sesuatu tarikh itu boleh disahkan sebagai awal Ramadan?
Bagi menjawab persoalan ini, mari ikuti perkongsian yang kami sertakan daripada portal Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di bawah ini.
Kaedah penetapan
Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PPMBR), kaedah yang digunakan bagi menetapkan permulaan puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha di Malaysia adalah berdasarkan Rukyah, iaitu cerapan hilal (anak bulan) dan Hisab, iaitu kiraan
“Rukyah ditentukan melalui pencerapan di kesemua 29 tempat yang disenaraikan sebagai Tempat-Tempat Cerapan Hilal, iaitu lokasi melihat anak bulan yang digunakan sejak 1972 hingga sekarang.
“Laporan daripada pegawai pencerapan meliputi fakta waktu mencerap dan keadaan cuaca ketika mencerap,” memetik portal PPMBR.
Kaedah pengumuman tarikh-tarikh puasa dan raya
Merujuk portal PPMBR lagi, sebelum pengumuman tarikh-tarikh tersebut diumumkan, satu mesyuarat khas antara pihak PPMBR, Bahagian Falak JAKIM dan RTM akan diadakan untuk memastikan tindakan-tindakan yang perlu dilakukan.
Difahamkan, antara tindakan yang perlu diambil adalah dengan memastikan perkhidmatan elektrik dan telekomunikasi tidak tergendala pada waktu pencerapan dan untuk urusan pengumuman.
“Rakaman pengumuman dibuat dalam dua situasi, iaitu mengandaikan (i) anak bulan kelihatan dan (ii) tidak kelihatan yakni samada Syaaban dan Ramadan berjumlah 29 atau 30 hari.
“(Kemudian) urus setia diwujudkan di pejabat bersama pegawai RTM yang bertanggungjawab dan ahli falak dari JAKIM.
“Laporan-laporan diterima dari semua pusat pencerapan. Apabila selesai, laporan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.
“Sebaik sahaja titah perkenan disambut, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memberitahu pegawai RTM di urus setia untuk beliau mengarahkan pengumuman yang bertepatan dilakukan,” memetik portal PPMBR lagi.
Pada kebiasaannya, semua hal tersebut boleh diselesaikan sebelum pukul 8 malam dan ia sedia untuk diumumkan pada waktu berita RTM berlangsung.
Latar belakang sejarah pengumuman tarikh awal puasa & raya
Pada 15 Mac dan 16 Mac tahun 1972, Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat kali yang ke-92 telah bersetuju untuk menetapkan tarikh permulaan puasa, hari raya puasa serta hari raya haji seluruh negara.
Difahamkan, sebelum tahun 1972, urusan penetapan puasa, hari raya puasa (Aidilfitri) dan hari raya haji (Aidiladha) adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.
“Cerapan (melihat) anak bulan pertama kali dilakukan bagi menetapkan permulaan puasa seluruh Malaysia dibuat pada 29 Syaaban 1392 bersamaan 7 Oktober 1972 di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Bermula saat itu, pengisytiharan permulaan puasa, hari raya puasa dan hari raya haji dilaksanakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan relevisyen setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja,” memetik portal PPMBR.
BACA JUGA: Nak Qada’ Puasa Tapi Tak Pasti Berapa Jumlah Harinya? Ini Penjelasan Mufti