MOSCOW, 31 Mac (Bernama) – Iran menerima kira-kira satu juta pelarian Afghanistan sejak Taliban mengambil alih pada Ogos 2021 menjadikan jumlah keseluruhan pelariannya seramai lima juta orang, lapor Sputnik, memetik Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian pada Khamis.
“Iran bimbang tentang peningkatan jumlah pelarian Afghanistan. Kira-kira satu juta wanita, kanak-kanak dan lelaki Afghanistan tiba di negara itu dalam tempoh tujuh bulan yang lalu, dan kini bilangan pendatang Afghanistan, yang menjadi tetamu kami di Iran, meningkat kepada kira-kira lima juta,” kata Amirabdollahian pada mesyuarat menteri di Tunxi China, seperti yang dipetik oleh Kementerian Luar Iran di saluran Telegram rasminya.
Dari 30-31 Mac, mesyuarat format “troika” mengenai Afghanistan itu diperluaskan dan disertai Rusia, China, AS dan Pakistan, berlangsung di luar Persidangan Menteri Negara Jiran Afghanistan Ketiga di wilayah Tunxi (bandar Huangshan), Anhui.
Rundingan khas itu disertai utusan khas Rusia, Amerika Syarikat dan Pakistan di Afghanistan dan dipengerusikan oleh utusan khas Kementerian Luar China untuk Afghanistan Yue Xiaoyong.
– BERNAMA