KUALA LUMPUR – Penulis lirik terkenal dan bekas wartawan hiburan, Iman Imran meninggal dunia di kediamannya di Semenyih akibat kanser.
Allahyarham Iman Imran atau nama sebenarnya Rudy Imran Shamsudin berusia 47 tahun dilapor meninggal dunia pada pagi semalam.
Berita duka itu dikongsikan rakan arwah.
Memetik laporan Utusan, Allahyarham memiliki 25 tahun pengalaman sebagai wartawan hiburan dan pernah berkhidmat di sebuah akhbar tempatan.
Iman Imran juga merupakan pemulis lirik lagu ‘Lelaki Teragung‘ nyanyian Dayang Nurfaizah yang pernah dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu 31.
Justeru itu, Dayang Nurfaizah turut meluahkan rasa sedih tentang pemergian arwah Rudi Imran.
“Hari ini Dayang kehilangan seorang lagi insan yang besar jasanya dalam perjalanan seni Dayang. Rudy Imran yang biasa Dayang panggil Abang Rudy antara orang yang melihat Dayang ‘membesar’ di dalam bidang muzik, bermula dari hubungan antara wartawan dan artis hinggalah Abang Rudy menulis lirik untuk lagu-lagu Dayang. Terlalu banyak kebaikan Abang Rudy, orang sekeliling sentiasa menyenangi.
Dayang bagai hilang kata-kata kerana semuanya berlaku sangat cepat. Akan Dayang kenang setiap kenangan indah sepanjang kerjasama kita.
Dayang berasa sedikit ralat kerana tak sempat rakamkan lagu yang Abang Rudy tuliskan liriknya. Andai dapat diulang masa, Dayang nak rakamkan lebih awal agar Abang Rudy dapat mendengarnya. Namun mungkin inilah buah tangan terakhir Abang Rudy buat Dayang sebagai memori di hari mendatang.
Semoga roh Abang Rudy ditempatkan di kalangan insan yang dikasihi Allah. Semoga kita bersua ‘Di Pintu Syurga’,” tulisnya di laman Facebook.
https://www.facebook.com/DayangNurfaizah2007/posts/525164275640992
Sumber: Utusan, Dayang Nurfaizah