Seorang penyanyi nasyid yang juga komposer terkenal yang ditahan kerana menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah unit kondominium Jumaat lalu tiba di Mahkamah Petaling Jaya untuk menghadapi pertuduhan berkaitan dadah.
Penyanyi itu yang memakai t-shirt berkolar hotam tiba di mahkamah pada sekitar jam 10 pagi diiringi anggota polis.
Difahamkan dalam prosiding pertuduhan hari ini, lelaki yang berusia 47 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 39B dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana setiap satu daripadanya didakwa masing-masing di Mahkamah Majistret dan Sesyen.
Pada 21 Mac lalu, Bernama melaporkan polis menahan seorang penyanyi nasyid kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berumur 47 tahun yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah 10 tahun lepas itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama.
Beliau berkata ketika serbuan pada 5.30 petang di kondominium di Kota Damanasara berdasarkan maklumat dan risikan itu, polis menemukan 17 pokok dalam pasu di almari, di dapur dan di dalam sebuah bilik di rumah itu. Dipercayai pokok ganja dianggarkan bernilai lebih kurang RM10,200.
Pasukan serbuan turut menemukan bekas plastik di atas kabinet dapur yang berisi dua plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja dengan berat kira-kira 214 gram dianggarkan bernilai lebih RM10,000.
Katanya, dalam serbuan itu turut disita sebuah kereta jenis Toyota Wish, satu alat sauna yang diubah suai sebagai rumah hijau buatan (artificial green house). Selain itu, wang tunai RM700, dan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM40,700.
Suspek mempunyai sejarah terlibat penangihan dadah lebih kurang 10 tahun dan menanam pokok ganja selama dua bulan. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC.
Sumber: Bernama Radio