Seorang wanita kurang upaya (OKU) dirundung malang apabila diperkosa teman suaminya sendiri di dalam kebun pisang di Bandung baru-baru ini.
Menurut Kompas, tragedi menjijikkan itu bermula apabila mangsa diajak lelaki terbabit untuk mencari suaminya yang kononnya dipukul di Parunghalang.
“Dia mengajak saya untuk mencari suami yang dipukul orang di Parunghalang. Disebabkan terkejut, saya terus mengikutinya dari belakang,”
“Namun tidak disangka, sebenarnya ketika itu suami saya berada di tingkat atas rumah kami.
“Saya tidak menyangka suami saya di atas, ketika itu saya berada di bawah bersama anak saya,” jelas mangsa, memetik Kompas.
Mendengar maklumat itu, mangsa terus menuruti ajakan lelaki terbabit dipercayai gara-gara bimbang akan suaminya yang konon ‘dipukul’ itu.
Bagaimanapun ketika mengikuti suspek hingga ke sebuah kebun pisang, mulutnya tiba-tiba dicekup dan tangannya dipegang hingga mengakibatkan luka di pergelangannya.
Dalam kejadian itu, mangsa sempat berteriak meminta pertolongan namun tidak ada sesiapa yang datang.
Dalam masa sama, suami mangsa mendakwa, ada saksi yang melihat isterinya berlari bahkan sempat mendengar wanita itu menjerit meminta tolong.
“Ada yang dengar, cuma disebabkan jaraknya agak jauh, kebetulan pula di kebun pisang itu ada kandang kambing, yang kedengaran hanyalah bunyi kambing.
“Saya sudah laporkan kes ini ke Balai Polis Baleenda, tapi katanya kes ini dilanjutkan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Bandung,” kata suami mangsa.
Difahamkan, suami mangsa sudah berkali-kali menghubungi pegawai polis untuk mengetahui lanjutan kes, namun masih belum ada maklumat terkini setakat semalam.
“Saya sudah ikut arahan seperti yang dinyatakan, tapi masih belum ada respon,” katanya.
Suami mangsa tersebut berharap agar kes itu segera diselesaikan dan suspek menerima hukuman yang setimpal atas perbuatan jijiknya.
Sumber: Kompas